Dialog antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang dirancang diadakan pada 7 April dibatalkan atas faktor keselamatan, perlindungan hak dan kebebasan orang ramai, menurut polis hari ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata, setakat hari ini, polis telah menerima 18 laporan daripada individu di negeri ini yang membantah debat tersebut.

"Pihak polis telah menerima bantahan-bantahan iaitu sebanyak 18 laporan polis yang dibuat oleh orang awam dan penduduk sekitar kawasan perhimpunan akan diadakan.

"Mereka amat bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga," katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah, ia merupakan bantahan dari pihak berkepentingan berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Risikan pihak polis menunjukkan ada pihak tertentu yang akan membuat kekacauan pada tarikh tersebut jika program ini diteruskan," kata Mohd Fuad.

Beliau berkata pihaknya tidak saja fokus kepada keselamatan dan ketenteraman awam pada 7 April, tetapi melihat kepada ketenteraman awam dari sekarang dan selepas tarikh itu, sekiranya wacana tersebut diadakan.

Semalam, polis membatalkan kebenaran penganjuran debat itu yang dijadualkan diadakan di Kompleks Karangkraf, Shah Alam.

Sebelum ini pada 25 Mac, debat antara kedua-dua tokoh politik itu di Padang Rengas, Perak turut dibatalkan atas faktor keselamatan.