Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (JATI) Malaysia Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menganggap permohonan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) untuk memansuhkan Undang-undang Jenayah Syariah adalah tindakan yang biadap.

Tindakan Comango menggunakan UNHRC di Geneva juga dilihat sebagai usaha menjadikan Malaysia sebuah negara liberal berkiblat barat semata-mata.

"Mereka hendak dijadikan Malaysia sebuah negara “syurga” murtad di mana kebebasaan sepenuhnya diberi kepada rakyat untuk meninggalkan agama masing-masing, “syurga” seks songsang di mana golongan gay dan lesbian akan dihalalkan serta “syurga” pendakyahan agama-agama lain termasuk Syiah ke atas masyarakat Islam” katanya.

Hasan berkata demikian di dalam satu kenyataan akhbar mengenai titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berhubung dengan penggunaan kalimah Allah.

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan telah memperakukan sepenuhnya keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat pada 14 Oktober yang lalu.

Dalam kenyataan tersebut, Hasan berkata, JATI sentiasa konsisten dengan memegang pendirian bahawa kalimah Allah adalah kalimah suci eksklusif untuk agama Islam.

Hasan juga mencadangkan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu atau pihak yang cuba meremehkan keputusan Mahkamah Rayuan, peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Enakmen Negeri yang berkaitan dan juga keputusan kebanyakan Majlis Fatwa Negeri termasuk Majlis Fatwa Negeri Selangor.

“Sekiranya bibit-bibit destruktif ini tidak dibendung, negara akan menjadi porak peranda” ujarnya lagi.

Sementara itu dalam satu laporan berita, Hasan turut mengulas mengenai pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat yang menyaksikan pertembungan antara golongan ulama dan pemimpin erdogan Datuk Nik Amar Nik Abdullah yang mencabar penyandang Mat Sabu dalam merebut jawatan Timbalan Presiden.

Hasan berpendapat PAS perlu terus dipimpin golongan ulama agar kembali konsisten seperti pada awal penubuhan parti tersebut.

“Perjuangan parti PAS kini dilihat semakin goyah dan tidak stabil akibat golongan ‘Anwarinas’ yang disifatkan sebagai parasit bermatlamat mengguling PAS” katanya lagi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kembali menyertai PAS.

"Jika ada jemputan daripada pimpinan PAS, saya akan pertimbangkan dengan JATI, saya ada banyak pihak yang perlu dipertimbangkan jika datang jemputan seperti itu," tambah Hasan.