Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan ikat jamin anggota DAP, V. Suresh Kumar yang menghadapi pertuduhan beri sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), pada Jumaat.

Hakim Collin Lawrence Sequerah, menolak permohonan tertuduh yang berusia 44 tahun atas kesalahan membabitkan keganasan di bawah Seksyen 130J Kanun Keseksaan bermakna tertuduh tidak boleh dijamin seperti ditetapkan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Pada masa sama, Hakim Sequerah memutuskan bahawa peruntukan di bawah SOSMA, yang menafikan permohonan ikat jamin kepada tertuduh yang memohon ikat jamin sementara pelupusan kesnya, adalah perlembagaan.

"Saya dengan penuh hormat membuat keputusan yang berbeza dengan Yang Arif (Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali) dalam kes Ahli Dewan Undangan Negeri Gadek G Saminathan.

“Saya mendapati ketetapan dalam Seksyen 13 SOSMA, setakat ini adalah berkaitan dengan larangan ikat jamin diberikan bagi yang tertuduh dengan kesalahan berkaitan keganasan, pertuduhan terhadap tertuduh adalah berperlembagaan. Oleh itu permohonan ditolak,” katanya.

Hakim juga menjelaskan bahawa mahkamah tidak boleh hanya diminta untuk bertindak atas kes-kes yang berkaitan dengan permohonan jaminan bagi seseorang tertuduh yang dikenakan untuk kesalahan keganasan.

"Ini kerana asas untuk melaksanakan kuasa itu tidak ada. Jadi tidak timbul persoalan untuk mengeluarkan kuasa kehakiman terlebih dahulu," katanya lagi.

Peguam Harshaan Zamani mewakili tertuduh manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman.

Suresh Kumar mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE menggunakan Facebook di bawah nama ‘Rocketsuresh Dap’ di pejabat pegawai penyiasat E8 (M) Bahagian Counter-Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman di sini pada 2 petang, 7 Oktober 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(A) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan perampasan mana-mana harta yang digunakan atau berhasrat digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

BACA: Permohonan jaminan dua tahanan LTTE didengar 11 Disember

BACA:
Miliki item LTTE: Kes S. Chandru dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur