Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Permohonan pelajar Kazakhstan ke Malaysia melonjak 45 peratus

education malaysia global services
MAHEF menghimpunkan pemegang taruh pendidikan tinggi dari Malaysia dan Asia Tengah bagi memperkukuh kerjasama termasuk dalam mobiliti pelajar, pendidikan transnasional, penyelidikan serta pembangunan bakat.
Advertisement

ASTANA: Permohonan pelajar dari Kazakhstan untuk melanjutkan pengajian di Malaysia meningkat 45 peratus, mencerminkan potensi besar negara itu sebagai antara pasaran utama sektor pendidikan tinggi Malaysia di rantau Asia Tengah.

Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS) Novie Tajuddin berkata Kazakhstan kini dikategorikan sebagai pasaran utama oleh EMGS sekali gus memerlukan usaha lebih giat bagi meningkatkan kemasukan pelajar dari negara itu ke Malaysia.

“Daripada penyelidikan yang kami lakukan, kami dapati Asia Tengah bukan sahaja Kazakhstan adalah lokasi yang mempunyai potensi tinggi.

“Ia terbukti apabila kita melihat permohonan yang diterima EMGS dari Kazakhstan mencatatkan peningkatan sebanyak 45 peratus berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya kepada Bernama sempena Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Asia Tengah 2026 (MAHEF 2026) di sini, yang bermula pada Jumaat lepas.

Beliau berkata ketika ini, terdapat kira-kira 1,400 pelajar Kazakhstan di Malaysia namun EMGS belum menetapkan sasaran khusus bagi jumlah kemasukan dari negara itu kerana ia bergantung kepada keberkesanan pelbagai inisiatif yang sedang dan bakal dilaksanakan.

Novie berkata, usaha promosi EMGS di Kazakhstan setakat ini meliputi antaranya Astana, Almaty serta Shymkent, dan akan diperluas bagi meneroka potensi pasaran negara itu dengan lebih menyeluruh.

Beliau berkata antara inisiatif susulan yang dipersetujui Malaysia dan Kazakhstan ialah memperluas pendidikan transnasional termasuk kerjasama program berkembar serta dwiijazah antara universiti kedua-dua negara selain meningkatkan mobiliti pelajar.

Kerjasama bersasar itu turut memberi tumpuan kepada bidang pertanian, tenaga nuklear, logistik, pengangkutan dan perlombongan.

“Kerjasama ini perlu memberi manfaat kepada kedua-dua negara... Malaysia boleh membantu Kazakhstan dalam bidang yang diperlukan dan pada masa sama, kita juga melihat perkara yang boleh dipelajari daripada Kazakhstan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Datuk Profesor Dr Azlinda Azman berkata ketika ini, terdapat 3,716 pelajar dari negara Asia Tengah di Malaysia dan lebih 1,400 daripada mereka berasal dari Kazakhstan.

Beliau berkata kerjasama menerusi program dwiijazah, ijazah berganda, program berkembar serta micro-credentials berpotensi berkembang susulan pengukuhan hubungan pendidikan tinggi antara Malaysia dan rantau berkenaan.

“Ia juga membuka peluang kepada pendidikan fleksibel seperti yang kita aspirasikan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035,” katanya.

Azlinda berkata Malaysia dan Kazakhstan turut bersetuju mengadakan mesyuarat jawatankuasa bersama berkaitan pendidikan tinggi setiap tahun bagi memantau pelaksanaan inisiatif yang dipersetujui selain mengenal pasti kerjasama segera termasuk dalam penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat.

Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan Mohd Adli Abdullah pula menyifatkan perkembangan itu sebagai lembaran baharu diplomasi pendidikan tinggi Malaysia-Kazakhstan, dengan kedua-dua negara mempunyai aspirasi untuk memperkukuh kedudukan masing-masing sebagai hab pendidikan di rantau Asia Tenggara dan Asia Tengah.

Beliau berkata penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pendidikan Tinggi di Malaysia tahun depan dijangka meneruskan momentum kerjasama yang telah dibina, dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kazakhstan akan terus berperanan sebagai penghubung strategik antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara.

MAHEF 2026 anjuran EMGS menghimpunkan pemegang taruh pendidikan tinggi dari Malaysia dan Asia Tengah bagi memperkukuh kerjasama termasuk dalam mobiliti pelajar, pendidikan transnasional, penyelidikan serta pembangunan bakat.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebelum ini berada di Kazakhstan bagi lawatan rasmi dari 25 hingga 27 Sept, yang turut merangkumi penyertaan dalam MAHEF 2026 serta beberapa siri pertemuan bagi memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi antara Malaysia dan negara Asia Tengah itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement