MALAYSIA
Permohonan PM rujuk isu perlembagaan bukan beri kekebalan mutlak - AGC

AGC turut menegaskan sebarang keputusan berkaitan tafsiran peruntukan perlembagaan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk beberapa persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan tidak bertujuan memberikan kekebalan mutlak kepada mana-mana individu.
Ringkasan AI
- Bukan untuk Kekebalan Mutlak: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa permohonan ini tidak bertujuan memberikan kekebalan mutlak kepada mana-mana individu, tetapi untuk mendapatkan tafsiran terhadap isu perlembagaan yang belum pernah diputuskan.
- Persoalan Berkaitan Litigasi Sivil: Antara persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada tindakan sivil terhadap perbuatan sebelum memegang jawatan boleh diteruskan jika ia menjejaskan keupayaan Perdana Menteri untuk mentadbir.
- Keputusan Terletak pada Mahkamah Persekutuan: AGC menegaskan bahawa Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa penuh untuk menentukan tafsiran peruntukan perlembagaan, dan pihaknya akan menilai sebarang permintaan campur tangan berdasarkan merit undang-undang dan kepentingan awam.
"Soalan lain termasuk sama ada Perlembagaan secara implikasi memerlukan semakan ambang kehakiman dalam kes seperti itu, serta kesan peruntukan dalam Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan dalam melindungi prinsip pengasingan kuasa dan kestabilan institusi negara,"menurut AGC dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut AGC, lapan persoalan yang dirujuk itu bersifat struktur, menyentuh aspek tadbir urus perlembagaan dan bukan berkaitan kekebalan peribadi.
"Proses rujukan perlembagaan diwujudkan bagi membolehkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan membuat penentuan muktamad terhadap isu-isu seperti ini," menurut AGC.
AGC turut menegaskan sebarang keputusan berkaitan tafsiran peruntukan perlembagaan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan.
Jabatan itu turut menjelaskan bahawa pihaknya akan menilai sebarang permintaan campur tangan berdasarkan merit undang-undang dan kepentingan awam, bukan berasaskan sentimen politik.
Terdahulu, pada Selasa lepas, Perdana Menteri memfailkan permohonan untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil difailkan bekas penyelidiknya Muhammad Yusoff Rawther, empat tahun lalu.
Anwar turut memohon mahkamah mempertimbangkan sama ada saman itu menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas sebagai ketua eksekutif negara, selain melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin Perlembagaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami