KUALA LUMPUR: Permohonan bagi program Pitch Malaysia USA Series akhirnya secara rasmi dibuka bermula hari ini (20 Feb) hingga 10 Mac 2023 dalam misi mencari 10 syarikat pemula teknologi bagi mewakili Malaysia pada pameran-pameran di Amerika Syarikat, April depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Yong Kai Ping berkata, syarikat pemula yang disenarai pendek dijangka diumumkan pada 16 Mac 2023 dan mereka akan dapat mempamerkan produk, perkhidmatan atau inovasi kepada bakal pelabur di dua platform pameran pitching berbeza di Silicon Valley dan Washington D.C.

Bukan itu sahaja, lawatan industri dan Sidang Kemuncak Pelaburan SelectUSA 2023 akan menjadi sebahagian program Pitch Malaysia USA Series dari 25 April hingga 4 Mei 2023.

"Syarikat pemula yang berminat untuk memohon perlu memenuhi empat kriteria utama iaitu syarikat berstatus diperbadankan kurang daripada 10 tahun di Malaysia (pada atau selepas 1 Januari 2013); mendapat AS$500,000 daripada firma modal teroka (VC) atau pelabur institusi; menjana pendapatan sekurang-kurangnya AS$1 juta dalam tempoh 12 bulan lalu; dan membangunkan produk atau perkhidmatan teknologi baharu, menyediakan inovasi disruptif serta meningkatkan pasaran baharu," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, usaha mempamerkan syarikat pemula Malaysia kepada dunia merupakan langkah penting dalam mempromosi negara sebagai destinasi inovasi dan keusahawanan, selain membina ekosistem teknologi Amerika-Malaysia yang lebih erat bagi membantu syarikat pemula Malaysia berkembang di peringkat global.

"Dengan menonjolkan potensi syarikat permulaan tempatan, negara boleh menarik lebih banyak pelaburan, mempromosikan keusahawanan dan memberi inspirasi kepada inovasi.

"Selain itu, syarikat pemula tempatan boleh mencipta pekerjaan, meningkatkan hasil cukai dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi seluruh rantau ini," ujar beliau lagi.

Program Pitch Malaysia USA Series merupakan platform bagi syarikat pemula tempatan yang sedia untuk menerima pelaburan dalam mempamerkan dan mengembangkan potensi perniagaan mereka ke pasaran Amerika.

Dengan mengetengahkan kisah kejayaan syarikat pemula Malaysia, ia membolehkan lebih ramai pelabur berpotensi, rakan kongsi dan pelanggan menyedari tentang syarikat-syarikat inovatif dari Malaysia.

Perkembangan itu boleh membantu menarik peluang perniagaan baharu dan memacu pertumbuhan, selain mempercepatkan usaha untuk membentuk lima syarikat pemula unicorn di Malaysia menjelang 2025.

Untuk rekod, Sidec berpengalaman selama tujuh tahun dalam membina ekosistem pemula di Selangor.

Malah, sejak 2018, melalui Selangor Accelerator Programme (SAP), Sidec berjaya melahirkan sejumlah 150 syarikat pemula teknologi melalui lima kohort, dengan 41 peratus daripadanya telah menerima pelaburan awal sama ada melalui geran, dana modal teroka atau Pendanaan Ramai Ekuiti (ECF).

Daftar sekarang di https://sidec.com.my/startup/pitchmalaysia sebelum tarikh akhir, 10 Mac 2023 jam 12 tengah hari.