KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan pemilik Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk membatalkan perintah jagaan sementara seorang daripada lima anak angkatnya yang diberikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Peguam Nur A'minahtul Mardiah Md Nor, yang mewakili Siti Bainun berkata mahkamah menolak permohonan tersebut atas alasan perintah yang dikeluarkan pada 16 Julai lalu adalah sah dan mengikut prosedur.

"Pada prosiding hari ini, Majistret Norfarahain Roslan juga telah menetapkan 28 Okt ini untuk pendengaran permohonan hak penjagaan penuh lima anak angkat Siti Bainun yang kini berada di bawah jagaan JKM.

"Pada tarikh tersebut, mahkamah boleh menentukan pihak yang layak bagi hak penjagaan penuh lima kanak-kanak itu. Hari ini mahkamah juga telah membenarkan permohonan Siti Bainun untuk bertemu seorang daripada anak angkatnya secara fizikal," kata peguam itu ketika ditemui media selepas prosiding kes hari ini.

Nur A'minahtul Mardiah berkata mahkamah juga membenarkan permohonan Siti Bainun untuk mendapatkan pegawai pelindung baharu bagi penyediaan laporan di bawah Seksyen 30 (6) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada 16 Julai lalu, hak penjagaan sementara lima kanak-kanak yang merupakan anak angkat kepada Siti Bainun diberikan kepada pihak JKM selepas wanita itu ditahan bagi membantu siasatan kes penderaan seorang remaja kurang upaya (OKU).

Sementara itu, peguam Muhammad Hafiz Hood dan Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili tiga daripada empat ibu kandung kanak-kanak tersebut memberitahu pemberita bahawa anak guam mereka telah memfailkan permohonan untuk membatalkan afidavit mereka bagi menyokong permohonan Siti Bainun yang difailkan sebelum ini.

Menurut kedua-dua peguam itu, pendengaran bagi pembatalan afidavit itu akan didengar pada 2 Nov ini.

Siti Bainun, 29, dan empat ibu kandung anak angkatnya memfailkan permohonan itu melalui notis secara bersama di Mahkamah Majistret di sini, pada 2 Ogos lepas menerusi Tetuan Chambers of Aminahtul Mardiah dengan menamakan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Siti Bainun dan empat ibu kandung anak itu memohon perintah jagaan sementara terhadap lima kanak-kanak itu yang kini diberikan kepada beberapa rumah jagaan di bawah JKM pada 16 Julai 2021, dibatalkan serta-merta di bawah Seksyen 30 (13) (c) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada 20 Ogos lalu, Siti Bainun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun.

Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun tahun ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.