PUTRAJAYA: Permohonan kemasukan pelajar Sesi Akademik 2023/2024 ke program asasi, sijil, diploma dan Ijazah Sarjana Muda melalui UPUOnline akan dibuka bermula esok hingga 28 Mac depan bagi permohonan Fasa Pertama dan 15 Mei hingga 12 Jun depan bagi Fasa Kedua.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan permohonan dibuka bagi kemasukan ke 20 Universiti Awam (UA), 36 politeknik, 105 kolej komuniti dan empat Institusi Kemahiran Tinggi Awam (ILKA).

Menurut KPT, permohonan terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf untuk semua program pengajian bagi permohonan Fasa Pertama manakala hanya program pengajian yang tidak bertemu duga dan atau ujian dibuka bagi permohonan Fasa Kedua.

"Selaras dengan hasrat kerajaan bagi meringankan beban rakyat dan meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi, sukacita diumumkan bahawa kos sebanyak RM15 sebagai Bayaran Proses UPUOnline bagi mendapatkan Unik ID akan ditanggung sepenuhnya oleh KPT.

"Dijangkakan bahawa lebih 350,000 calon lepasan SPM dan STPM atau setaraf akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini yang akan membawa kepada implikasi kewangan sebanyak RM5.25 juta kepada kementerian," menurut KPT.

Kenyataan itu turut memaklumkan semua calon yang berkelayakan dipelawa mengambil peluang tersebut bagi menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

Menurut KPT terdapat 471 program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM dan 1,088 program pengajian ditawarkan kepada lepasan STPM atau setaraf oleh UA, politeknik, kolej komuniti dan ILKA seluruh negara.

-- BERNAMA