PUTRAJAYA: Malaysia meneruskan usaha diplomatik susulan keputusan Kementerian Luar Norway yang dilaporkan menarik balik beberapa lesen eksport teknologi tertentu, sebagai sebahagian daripada pengetatan kawalan eksport negara itu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan turut meneliti tindakan undang-undang dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya jika perlu.
“Kerajaan Malaysia amat kesal terhadap tindakan Kerajaan Norway yang tidak meluluskan permit eksport pada saat akhir, walhal kontrak telah dimeterai sejak 2018.
“Kontrak telah dilaksanakan tanpa sebarang isu dan semua pembayaran dibuat mengikut jadual. Malaysia tidak dapat menerima alasan yang dikemukakan,” kata beliau pada sidang mingguan di Putrajaya pada Rabu.
Ujarnya, pelaksanaan Pelan Pertahanan Negara merupakan kepentingan strategik yang tidak boleh dikompromi.
"Pada waktu ini, usaha melalui saluran diplomatik sedang dilaksana. Selain itu, Kerajaan Malaysia turut mempertimbang tindakan susulan yang sewajarnya dari sudut perundangan," tambahnya.
Terdahulu, Kementerian Luar Norway dilaporkan telah menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara itu.
Menurut laman web syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), antara yang terbabit adalah perolehan Peluru Berpandu Tempur Tentera Laut (NSM) yang dimeterai antara TLDM dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu.
Peluru berpandu itu berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan jarak melebihi 300 kilometer.