Skip to main content

Malaysia

Perpaduan negara bukan mainan politik, pihak provokasi perlu diambil tindakan - Yuneswaran

YUNESWARAN RAMARAJ_Astro AWANI
Yuneswaran memandang serius perkembangan yang menunjukkan peningkatan kandungan berunsur provokasi berkaitan kaum dan agama yang berpotensi menggugat keharmonian serta ketenteraman masyarakat. - Foto/ Facebook Yuneswaran Ramaraj

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) tidak akan berkompromi dengan apa sahaja bentuk provokasi yang dilakukan dengan niat jahat untuk memecahbelahkan rakyat.

Timbalan Menterinya, Yuneswaran Ramaraj berkata perpaduan negara bukan bahan mainan politik, apatah lagi alat untuk meraih perhatian atau sokongan.

Advertisement

“Saya memandang serius perkembangan mutakhir yang menunjukkan peningkatan kandungan berunsur provokasi berkaitan kaum dan agama yang berpotensi menggugat keharmonian serta ketenteraman masyarakat.

“Saya ingin menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil tindakan yang keras terhadap individu yang didapati mengancam keselamatan awam melalui kenyataan atau kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau turut menggesa Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbukti menggugat keharmonian masyarakat.

“Peruntukan undang-undang sedia ada perlu digunakan sepenuhnya termasuk Akta Hasutan 1948, Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, SOSMA dan POCA,” jelasnya.

Katanya, pemantauan terhadap kandungan media sosial juga perlu diperkukuh melalui pendekatan lebih agresif dan proaktif.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak boleh dilihat lemah atau lambat dalam menjalankan tanggungjawab pengawalseliaannya, kerana kelewatan bertindak terhadap kandungan berunsur kebencian kaum dan agama hanya memberi ruang kepada provokasi terus merebak serta menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Mana-mana pihak yang cuba mengapi-apikan sentimen perkauman atau agama demi kepentingan tertentu perlu sedar bahawa tindakan sedemikian boleh menjejaskan keamanan negara,” tambah beliau dalam kenyataan sama.

Beliau turut menegaskan komitmen kementerian itu untuk berperanan sebagai pemudah cara dan pengantara antara agensi dalam memastikan sebarang isu sensitif dapat ditangani secara teratur dan berkesan.

Jelas beliau, kerajaan juga memperkukuh usaha pemantauan dan pengurusan isu sensitif melalui penubuhan Pusat Rujukan Isu Sensitif Masyarakat (PRISMA), pusat rujukan nasional yang menyelaras pemantauan isu perpaduan secara sistematik.

“PRISMA mengumpulkan data daripada pelbagai sumber termasuk sistem e-Sepakat, Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM, bagi mengenal pasti trend serta tahap sensitiviti isu lebih awal, seterusnya membolehkan tindakan dan komunikasi strategik kerajaan diselaraskan secara bersepadu,” katanya.

Tegas Yuneswaran, perpaduan negara adalah tanggungjawab bersama dan 
kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan kebencian.

Must Watch Video