SEREMBAN: Seluruh rakyat di Negeri Sembilan perlu mengukuhkan semangat patriotik meskipun berbeza ideologi politik, terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata dalam konteks menghadapi pilihan raya ini dan sambutan bulan kemerdekaan ini, perasaan cinta kepada negara mendahului semangat perbezaan fahaman politik, terutamanya kepada generasi muda yang mula menjalankan tugas mereka sebagai pengundi kali ini.

"Menjelang hari penamaan calon pilihan raya ini, semua pihak berlumba-lumba menaikkan bendera masing-masing bagi menawan hati pemilih dan seharusnya dalam konteks ini perasaan cinta kepada negara mendahului semangat perbezaan fahaman politik.

"Jadi usaha memperkukuhkan perpaduan ini perlu berterusan, bagi menimbulkan kesedaran dalam kalangan golongan muda terutamanya kepentingan mengekalkan perpaduan yang kita warisi daripada generasi terdahulu perlu dilaksanakan," katanya pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Aminuddin berkata suara generasi muda yang mungkin pertama kali keluar mengundi pada pilihan raya kali ini, akan mencorakkan keputusan akhir semasa pilihan raya kelak.

Aminuddin berkata penglibatan mereka dalam proses pembentukan kepimpinan negeri dan negara, merupakan satu bentuk semangat patriotisme, kerana demokrasi itu merupakan platform bagi menghargai kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini.

"Program seperti pengibaran Jalur Gemilang ini, menjadi wadah untuk menerap mentaliti dan sikap masyarakat mengenali dan menghormati lambang identiti negara, seterusnya menjadi benih yang akan menyemai semangat patriotisme ini.

"Walaupun kita dalam kesibukan melaksanakan persiapan bagi menghadapi 'hari raya' di peringkat negeri, kita bersyukur masih dapat berkumpul tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan keturunan dalam suasana aman dan harmoni bagi meraikan majlis pagi ini," katanya.

-- BERNAMA