Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan, dalam konteks ini, golongan majoriti dan minoriti harus mengikut hukum dan undang-undang.
“Islam agama Persekutuan, umat Islam adalah majoriti di negara ini tetapi kita tidak gunakan itu untuk menekan sesiapa.
“Yang majoriti (beragama Islam) dan Islam sebagai agama Persekutuan mesti ikut hukum dan undang-undang.
“Yang minoriti pun mesti tunduk kepada undang-undang. Kita tidak boleh berlaku zalim kepada majoriti dan tidak boleh membiarkan kezaliman kepada minoriti.
“Kita kena pertahankan apa yang disebut nilai MADANI ini,” katanya.
Jelas Anwar, beliau memilih untuk menjelaskan mengenai isu perpindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India agar semua pihak mendapat mesej jelas.
“Saya pilih untuk menjelaskan perkara ini sebab nak berikan mesej yang jelas Majlis Agama Wilayah, syarikat pembinaan dan DBKL semua itu diminta sederhana, sopan dan bincang baik-baik dan cari jalan.
“Jawatankuasa kuil bincang dengan baik sebab kami (kerajaan) adalah rakan dan sahabat bukan musuh.
“Jangan gambarkan kami zalim, dan jangan dengar penghasut... ada Melayu yang beritahu apa salahnya buat masjid di tepi kuil itu.
“Arahan kita (Kerajaan) konsisten jangan sesekali ganggu dan sulitkan mana-mana mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketia berucap pada sambutan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, pagi ini.
Beliau mengulas isu yang melibatkan sebidang tanah di Jalan Bunus berhampiran Jalan Masjid India, yang menempatkan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Kuil itu dilaporkan telah dibina pada 1893, beberapa dekad sebelum DBKL dan agensi pendahulunya ditubuhkan.
Selepas kemerdekaan, DBKL menjadi pemilik tanah tersebut sebelum ia dijual pada 2014 kepada syarikat tekstil Jakel Group.
Jakel baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk membina sebuah masjid di sana, yang akan dinamakan Masjid MADANI, yang mana Anwar dijadualkan merasmikan majlis pecah tanah pada Khamis ini.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan berkata Kerajaan akan memainkan peranan sebagai jambatan dalam rundingan antara pihak swasta yang juga pemilik tanah serta kuil Dewi Sri Pathrakaliamman bagi mencari penyelesaian adil tanpa menyentuh mana-mana kaum.
Dalam masa sama, Ramanan mengingatkan orang ramai tidak menggunakan perkataan yang boleh menimbulkan salah faham dalam isu ini.
