MALAYSIA
Persahabatan asas hubungan Malaysia-Timor-Leste - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis makan malam rasmi anjuran Presiden Dr José Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão malam ini. - Foto BERNAMA
DILI (TIMOR-LESTE): Hubungan antara Malaysia dan Timor-Leste melangkaui diplomasi rasmi dan mencerminkan persahabatan yang dibina puluhan tahun dalam perjuangan bersama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hubungan Malaysia dan Timor-Leste berasaskan persahabatan lama serta nilai bersama seperti demokrasi dan saling menghormati.
- Anwar turut merakamkan penghargaan atas layanan mesra kepimpinan Timor-Leste yang mencerminkan persaudaraan lebih daripada sekadar hubungan diplomatik.
- Malaysia terus menyokong penyertaan rasmi Timor-Leste ke dalam ASEAN pada Sidang Kemuncak ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
"Semangat setiakawan, kasih sayang, dibalas dengan baik. Dan rakyat Malaysia sayangkan Timor-Leste," katanya.
Anwar berkata sokongan Malaysia terhadap Timor-Leste adalah bertunjangkan nilai bersama dalam kehormatan insan, demokrasi dan sikap saling menghormati, yang kekal sebagai inti pati kepada aspirasi kedua-dua negara.
Beliau juga menzahirkan terima kasih kepada Ramos-Horta dan kepimpinan Timor-Leste atas layanan mesra mereka yang menurutnya bukan sahaja mencerminkan hubungan diplomatik tetapi juga persaudaraan antara rakyat kedua-dua negara.
Timor-Leste bakal menyertai ASEAN secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur Oktober ini, satu pencapaian yang terus disokong kuat Malaysia.
Turut hadir pada majlis malam ini Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami