MALAYSIA
Persatuan minyak sawit Malaysia gesa kerajaan laburkan semula keuntungan cukai luar biasa dalam industri

Persatuan minyak sawit di Malaysia turut menyatakan kos tinggi dan insentif yang tidak mencukupi memperlahankan penanaman semula, yang berisiko menjejaskan hasil masa depan. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Kalangan persatuan minyak sawit di Malaysia menyeru agar kerajaan melabur semula kutipan daripada cukai keuntungan luar biasa (WPL) ke dalam industri itu melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Dalam satu kenyataan bersama, gabungan persatuan berkenaan berkata, dana daripada WPL itu seharusnya perlu dilabur semula bagi mengukuhkan sektor berkenaan dalam bidang utama seperti penanaman semula, mekanisasi dan teknologi, kemampanan, akses pasaran serta subsidi dan penstabilan minyak masak.
Mereka turut menyatakan kos yang tinggi dan insentif yang tidak mencukupi memperlahankan penanaman semula, yang berisiko menjejaskan hasil masa depan.
Justeru, katanya, pengalihan dana WPL itu boleh dimanfaatkan ke arah tujuan yang lebih khusus seperti memberikan pinjaman mudah dan sokongan bersasar bagi tujuan meremajakan semula pokok-pokok yang sudah tua.Persatuan-persatuan itu juga menegaskan bahawa walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) kekal di atas RM3,900 setiap tan, pengilang dan pembungkusan minyak masak masih menanggung kerugian besar akibat pelaksanaan harga siling di bawah program minyak masak berbotol oleh kerajaan.
"Harga siling semasa sebanyak RM2.50 sekilogram tidak mampan, dan jurang antara harga MSM sebenar dan harga minyak bersubsidi semakin melebar.
"Keadaan ini bukan sahaja membebankan kewangan pengilang tetapi juga menimbulkan kebimbangan mengenai kelestarian sistem subsidi itu sendiri," kata mereka.
Mereka turut menggesa kerajaan supaya mengkaji semula harga siling dengan segera atau memperuntukkan sebahagian daripada kutipan WPL untuk menampung kos subsidi, memberi amaran bahawa tanpa bantuan tersebut, dasar sedia ada berisiko menjejaskan kestabilan bekalan dan daya tahan industri.
Semakan juga perlu dilakukan ke atas ambang WPL agar ia mencerminkan keuntungan luar biasa yang sebenar, dan tidak membebankan pengeluar dengan cukai ketika harga hampir dengan kos pengeluaran, kata pihak berkenaan.
Dengan purata kos pengeluaran antara RM2,600 hingga RM3,000 setiap tan serta kenaikan kos baja sebanyak 30 peratus sejak akhir 2024, kadar levi semasa sebanyak RM150 setiap tan adalah terlalu besar, katanya.
"Kutipan WPL tidak boleh kekal sebagai sumber pendapatan kerajaan sahaja. Ia mesti dilaburkan semula ke dalam industri perladangan dan komoditi untuk merangsang penanaman semula, mekanisasi, kelestarian serta meringankan beban subsidi minyak masak.
"Dengan kos semasa, keadaan ini tidak mampan. Mengalihkan semula dana WPL ke kementerian adalah jalan yang adil dan logik," kata persatuan-persatuan itu.
Sebanyak 13 persatuan yang menandatangani kenyataan tersebut antaranya Persatuan Minyak Sawit Malaysia, Persatuan Pemilik Ladang Malaysia, Persatuan Pemilik Ladang Sawit Sarawak, Persatuan Penanam Timur Malaysia, Persatuan Penanam Sawit Dayak Sarawak, Persatuan Kilang Minyak Sawit, Persatuan Pengilang Minyak Edible Malaya, Persatuan Pengilang Oleokimia Malaysia, Persatuan Biodiesel Malaysia, Persatuan Pengelua-Pengeluar Pertanian Tanah Melayu, Incorporated Society of Planters, Palm Oil Refiners Association of Malaysia, dan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami