Persatuan penguna di Malaysia disifatkan belum cukup agresif dalam memperjuangkan hak-hak pengguna seperti di negara-negara luar.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata keadaan itu adalah antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan harga di negara ini.

Katanya, secara realitinya, persatuan-persatuan industri lebih kuat dan bersifat mendesak dalam memperjuangkan hak-hak mereka berbanding persatuan pengguna.

"Pengalaman persatuan pengguna menangani isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) jelas menunjukkan sejauh mana kemampuan mereka," katanya ketika ditemubual Buletin Astro Awani di sini pada Khamis.

Menjelaskan lanjut, Mohd Yusof memberitahu, ekonomi Malaysia adalah tidak efisien dalam menyerap keluk pengurangan atau kenaikan harga.

Beliau memberitahu, seharusnya pengurangan harga minyak diselarikan dengan pengurangan harga barang.

Ditanya mengenai Indeks Harga Pengguna (IHP) pada bulan April yang menunjukkan penguncupan 2.9 peratus pada April kepada 117.6 berbanding 121.1 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, beliau berkata, corak perbelanjaan dan ekonomi negara pada bulan April iaitu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya menunjukkan perubahan.

Katanya, permintaan terhadap pengangkutan dilihat terlalu sedikit, sedangkan berlaku peningkatan pada bekalan makanan yang menyebabkan harga barang makanan meningkat.