Persatuan Perkhidmatan Big Blue Taxi Sdn Bhd tidak bersetuju dengan tindakan Kementerian Pengangkutan yang menetapkan tempoh setahun bagi pelaksanaan penuh perkhidmatan e-hailing.

Penasihat persatuan itu, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata tempoh itu dilihat tidak realistik berikutan perkhidmatan e-hailing itu telah diperkenalkan dan diguna pakai termasuk oleh pengusaha teksi sejak dua tahun lalu.

"Tidak perlu tempoh sehingga setahun berikutan e-hailing telah pun dilaksanakan sebelum ini dan perkhidmatan itu juga telah memudahkan proses pendaftaran pengusaha teksi dilakukan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Seharusnya tidak perlu mengambil masa lama kerana SPAD juga telah membuat kajian mengenai aplikasi e-hailing sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Rabu lepas, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pihaknya menetapkan tempoh setahun diberikan untuk pelaksanaan penuh perkhidmatan e-hailing termasuk mengenakan syarat baharu dalam perkhidmatan itu.

Antara syarat baharu yang ditetapkan itu ialah semua pemandu e-hailing perlu mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV), membuat pemeriksaan kesihatan, saringan rekod jenayah serta menjalani pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sekali setahun apabila kenderaan melebihi usia tiga tahun dari tarikh didaftarkan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam pada itu, Shamsubahrin menyarankan Kementerian Pengangkutan mewujudkan sistem kawalan harga dalam memastikan persaingan sihat antara antara pengusaha teksi e-hailing dan Grab.

"Sekiranya kementerian memberi harga terbuka kepada mereka (Grab) berbanding teksi yang mengguna aplikasi e-hailing in, ia seperti tidak mempunyai sebarang perbezaan.

"Sistem kawalan harga itu perlu diteliti supaya industri teksi di negara ini tidak lagi akan merundum seperti sebelum ini," katanya.

-- BERNAMA