JOHOR BAHRU: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak 510 projek dengan kos sebanyak RM4.7 bilion di Johor sepanjang tahun ini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kelulusan projek itu hasil kerjasama erat Kerajaan Negeri Johor dan Persekutuan yang mahukan peningkatan ekonomi negara, selain melihat potensi Johor mampu menjadi sebuah hab ekonomi baharu.

"Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan. Jutaan penghargaan juga kepada Menteri-Menteri Kabinet yang sebelum ini turun padang ke Johor bagi melihat sendiri keadaan di negeri ini.

"Semoga semua rencana ini direalisasikan sebaiknya," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau malam ini.

Terdahulu, beliau bersama delegasi kerajaan negeri hari ini menghadiri Mesyuarat Pembangunan Negeri Johor di Putrajaya yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dihadiri 12 Menteri Kabinet.

Onn Hafiz berkata mesyuarat seumpama itu merupakan kali pertama dibuat melibatkan kerajaan negeri dengan 13 kementerian berkaitan, dengan menfokuskan koordinasi secara menyeluruh untuk projek-projek pembangunan yang berimpak tinggi di Johor.

Beliau berkata terdapat tujuh inisiatif dan projek pembangunan berimpak tinggi dibawa untuk perhatian menerusi mesyuarat berkenaan iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ), Projek Naik Taraf Lebuh Raya dan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).

Selain itu, Kerja-Kerja Menaik Taraf Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2), Kerja-Kerja Menaik Taraf Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Cadangan Projek Penyuraian Trafik dan Naik Taraf Pengangkutan Awam Di Bandar Raya Johor Bahru dan Projek Bekalan Air Johor.

Menurut beliau mesyuarat itu bersetuju agar ketujuh-tujuh projek itu disiapkan secepat mungkin, selain pihak kementerian dan kerajaan negeri akan melakukan pemantauan secara berkala.

Menerusi mesyuarat itu, Anwar dilaporkan berkata Kementerian Ekonomi diminta menyelaras mesyuarat di peringkat jawatankuasa kerja bagi menyusuli beberapa cadangan berhubung penubuhan JS-SEZ.

-- BERNAMA