KLANG: Perselisihan faham antara ahli keluarga dipercayai menjadi punca seorang individu cedera dipukul sekumpulan lelaki di kawasan parkir sebuah pangsapuri di Bandar Botanik Klang dekat sini 14 September lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki berhubung insiden pergaduhan itu pada jam 6.31 petang, hari sama.

"Pengadu berusia 33 tahun itu mendakwa telah dipukul oleh sekumpulan lelaki dengan menggunakan rotan pada jam 1 pagi," katanya dalam kenyataan semalam.

Hoong Fong berkata, hasil siasatan mendapati bahawa kejadian pergaduhan itu akibat perselisihan faham antara ahli keluarga ketika pengadu menghadiri majlis kematian di pangsapuri berkenaan.

"Seramai lima orang telah memukul pengadu dan salah seorang suspek menggunakan rotan.

"Akibat kejadian itu, mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan kiri, rusuk dan kaki," katanya.

Beliau berkata, polis telah menangkap enam lelaki warga tempatan berusia 26 hingga 65 tahun pada 15 September lalu, bagi membantu siasatan.

"Hasil semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah. Kesemua suspek telah dibebaskan dengan jamin polis setelah selesai siasatan," katanya.

Hoong Fong berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 148 kanun keseksaan iaitu kesalahan memiliki senjata semasa rusuhan.

"Pegawai penyiasat telah melengkapkan kertas siasatan dan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya.

"Berdasarkan keterangan yang diperolehi dalam siasatan polis, Timbalan Pendakwa Raya telah memberikan arahan untuk tuduh empat orang di mahkamah dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata, pihak polis mendapati video berkaitan kejadian itu telah tular di media sosial.

"Orang awam dinasihatkan supaya jangan menularkan video tersebut bagi mengelakkan kegusaran kepada masyarakat setempat," katanya. - Sinar Harian