Keputusan melepas tanpa membebaskan anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz daripada tuduhan pengubahan wang haram berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dicapai melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri menjelaskan persetujuan tersebut dicapai oleh pihak pendakwaan dan tertuduh menerusi representasi yang dikemukakan.

Kenyataan itu turut menafikan penglibatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam keputusan itu.

"Perdana Menteri sekali lagi mengulangi bahawa pendiriannya untuk tidak mencampuri urusan Pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman dalam membuat apa-apa keputusan berkaitan kes-kes jenayah di negara ini termasuk kes-kes berprofil tinggi," kata kenyataan di sini, pada Isnin.

Khamis lalu, anak tiri bekas perdana menteri itu dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1MDB.


Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili pendakwaan, membacakan kenyataan kepada mahkamah, bahawa sejak tertuduh didakwa, beliau sudah beberapa kali mengemukakan permohonan representasi.

Gopal Sri Ram berkata, selepas representasi itu diteliti dan dipertimbangkan, beberapa keputusan berjaya dicapai.

Katanya, melalui terma yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, kerajaan Persekutuan akan menerima sejumlah wang bernilai jutaan ringgit.

Pada 5 Julai tahun lalu, Riza, 43 tahun, pemilik syarikat Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem The Wolf of Wall Street itu didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah US$1.173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, AS milik Red Granite Productions Inc.

Wang berkenaan didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 April dan 12 Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, Amerika Syarikat.

Riza, anak Datin Seri Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama membabitkan US$9 juta melalui transaksi pemindahan wang daripada akaun serupa pada 10 September 2012 dan 10 Oktober 2012 di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan jumlah US$133 juta dan US$60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura milik Red Granite Capital Ltd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, Singapura pada 18 Jun 2012 dan 23 Oktober 2012.

Mengikut pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa membabitkan jumlah US$45 juta di tempat sama pada 14 November 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, jika sabit kesalahan, Riza boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.