PUTRAJAYA: Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2023 (PERKKS 23) akan diadakan di sini pada 21 dan 22 Nov depan sempena sambutan Hari Keluarga Antarabangsa (HKA) 2023 dan Hari Penduduk Sedunia 2023 yang akan disambut pada 11 Julai ini.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan memaklumkan, pelbagai aktiviti dirancang bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai impak trend demografi terhadap institusi keluarga.

Menurut KPWKM, PERKKS 23 dianjurkan kementerian itu melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama Pusat Pengajian Kependudukan, Universiti Malaya (UM) dan United Nations Population Funds (UNFPA).

"Persidangan yang bertemakan 'Ke Arah Penduduk dan Keluarga Yang Mampan, Membangun Malaysia MADANI' ini amat bertepatan dengan enam tonggak Malaysia MADANI sebagai teras yang memperkukuh kesejahteraan penduduk dan kekeluargaan bagi membangun modal insan yang cemerlang," menurut kenyataan itu.

KPWKM memaklumkan sambutan HKA 2023 wajar diberi perhatian dan dijadikan platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai impak trend demografi terhadap institusi keluarga di negara ini.

Menurut KPWKM, perubahan demografi adalah satu daripada trend mega terpenting yang memberi kesan kepada kehidupan dan kesejahteraan keluarga di seluruh dunia.

"Trend demografi kebiasaannya dipengaruhi oleh corak kesuburan dan kematian. Penurunan kesuburan berupaya memberikan faedah kepada keluarga iaitu berpeluang memberikan penjagaan kesihatan dan kemudahan pendidikan lebih baik kepada anak-anak.

"Ini seterusnya dapat membantu pengurangan kadar kemiskinan ke arah pembangunan sosioekonomi negara yang lebih baik. Selain itu, kajian membuktikan bahawa penurunan kesuburan juga meningkatkan penyertaan golongan wanita dalam pasaran buruh," menurut kenyataan itu.

KPWKM memaklumkan penduduk dunia telah mencecah lapan billion pada penghujung 2022 yang menggambarkan kemajuan luar biasa bidang penjagaan kesihatan iaitu dengan pengurangan kadar kematian bayi dan kanak-kanak serta peningkatan jangka hayat penduduk.

Hal ini menjadikan penduduk dunia kekal bertambah secara positif walaupun pada kadar yang semakin perlahan kesan daripada penurunan kadar kesuburan penduduk.

"Situasi yang sama berlaku di Malaysia iaitu penduduk negara telah bertambah daripada 27.5 juta orang pada 2010 kepada 32.4 juta orang pada 2020, dengan kadar pertumbuhan yang perlahan iaitu hanya 1.7 peratus bagi 2010 hingga 2020. Kadar ini adalah lebih rendah berbanding 2.1 peratus bagi tempoh 2000 hingga 2010," menurut kenyataan itu.

Menurut KPWKM, keadaan itu banyak dipengaruhi oleh penurunan kadar kesuburan daripada 2.9 pada 2000 kepada 1.7 orang anak bagi setiap wanita pada 2020, di sebalik peningkatan jangka hayat penduduk daripada 72.2 kepada 75.1 tahun dalam tempoh tersebut. - BERNAMA