Ia juga tanggungjawab serta konsep yang harus dipraktikkan dengan penuh jujur serta ikhlas demi memastikan pentadbiran sesebuah keluarga lancar tanpa timbul sebarang konflik susulan.
Oleh kerana itu, bapa dilihat selaku ketua sebuah keluarga yang menjadi contoh utama kepada anak-anak, memberi kasih sayang kepada keluarga, memberi perlindungan, menyediakan makanan dan pakaian yang mencukupi selain pelbagai aspek untuk keharmonian keluarganya.
Konsep itu menjadi asas kepada mana-mana ketua sekalipun untuk melahirkan keluarga yang cemerlang dan selain patuh kepada peraturan yang ditetapkan.
Dua apai
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sebagai apai besai Sarawak (Dalam bahasa Iban, apai bermaksud ayah) adalah ketua keluarga besar Sarawak.
Dia bertanggungjawab sepenuhnya untuk membawa negeri itu ke tahap kemajuan tertinggi selain menyelesaikan apa jua isu serta masalah ahli keluarganya iaitu rakyatnya.
Kerana itu dalam ikrarnya, Adenan berjanji akan membawa lebih banyak pembangunan kepada rakyat negeri ini bagi tempoh lima tahun akan datang.
Janji itu turut diluah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi apai besai Malaysia.
Jadi apabila dua bapa sudah berikrar, pastinya tidak ada lagi perkataan yang boleh menafikan janji mereka terutama kepada rakyat Sarawak.
Ia disokong pakar psikoterapi Azman Shah Aziz yang memberitahu sudah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk membalas jasa seorang ayah yang telah memberi khidmat kepada keluarga.
Katanya, dalam aspek Adenan yang dianggap sebagai apai besai, pastinya rakyat Sarawak harus membalas budi bapa dengan memberikannya undi untuk sebagai tanda jasanya dihargai.
Jelasnya lagi, sebagai seorang bapa, apa yang dilakukan Adenan selama dua tahun pertama pimpinannya adalah jalan terbaik yang dilihat akan diteruskan untuk lima tahun akan datang seperti yang diharapkannya.
Ikrar itu sendiri termaktub di dalam blog Najib yang menyatakan hasrat untuk bersama memajukan Sarawak setanding atau lebih maju lagi dengan kemajuan di Semenanjung Malaysia.
Apai besar Malaysia itu di dalam setiap ceramahnya di Sarawak menekankan pembangunan yang sudah dilakukan oleh kerajaannya di negeri Sarawak sendiri.
Ia termasuk menambah baik rangkaian perhubungan di Sarawak, seperti perhubungan antara bandar, membuka peluang ekonomi melalui hubungan rangkaian, selain menambah baik perhubungan internet serata negeri.
Najib juga tidak pernah lupa mengingatkan rakyat Sarawak tentang Lebuhraya Pan Borneo yang katanya sebahagian daripada usaha yang bakal membuka banyak peluang ekonomi bagi penduduk di sekitar kawasan lebuh raya tersebut.
Kehebatan dua apai ini tidak boleh dipertikaikan lagi dalam tanggungjawab mereka memastikan tiada sesiapa akan ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Isu berbangkit
Ceritalah apa sahaja isu yang dibangkitkan pembangkang, Adenan sebenarnya sudah menyelesaikannya dengan caranya yang terbaik.
Walaupun mungkin ada beberapa isu yang masih belum selesai sepenuhnya, tiada siapa boleh menafikan ia dalam proses dan hanya menanti masa untuk ditamatkan.
Ceritalah antaranya tentang isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), lebuh raya, lapangan terbang baharu dan cukai pintu, apa lagi yang belum Adenan selesaikan akan diselesaikan.
Sama juga apabila Adenan tidak mahu campur dengan isu nasional yang dibawa oleh pembangkang terutamanya mengenai 1MDB atau GST yang disifatkan akan diselesaikan oleh apai besar Melaysia dengan jalan terbaik.
Kesimpulannya mudah, Adenan selesaikan isu tempatan dan tugas Najib untuk menyelesaikan isu nasional.
Kerana itu, seruan Adenan dalam satu majlis di Meradong pastinya membawa pengertian tersendiri yang lahir dari hati penuh ikhlas selepas melihat kain rentang penduduk di sana yang tertulis;
"Kami rakyat di Meradong, nadai apai, nadai indai, minta Barisan Nasional tolong kami."
Dan dijawab oleh Adenan
"Dalam menoa tok, akulah apai ….Jamilah lah indai kitak"
Itulah semangat, apabila dia kata, dia akan tunaikan dan pastinya bukan calang-calang tokoh boleh membawa gelaran apai besai seperti Adenan.
Temubual eksklusif Astro AWANI bersama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem
*Wan Syamsul Amly adalah wartawan Astro AWANI yang sedang membuat liputan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 ketika ini.
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.