KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi kini sedang membangunkan Pelan Tindakan Biojisim Kebangsaan yang akan melibatkan lima sektor iaitu perladangan, pertanian, penternakan, perikanan dan perhutanan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pelan yang disasarkan ke arah pertanian mampan itu dijangka siap dan diumumkan Julai depan.

"Aspirasi saya adalah untuk mempunyai ekonomi kitaran yang mampan dalam sektor ini melalui penggunaan dan pemprosesan biojisim yang sistematik kepada produk bernilai tinggi yang boleh menjana pendapatan tambahan kepada industri secara keseluruhan.

"Salah satu projek berimpak tinggi yang akan dilaksanakan oleh MPOB dalam Rancangan Malaysia Ke-12 ialah pengeluaran lignocellulos daripada biojisim yang boleh digunakan dalam pelbagai sektor seperti industri makanan, farmaseutikal dan kosmetik," katanya ketika berucap pada majlis Persidangan dan Pameran Palm Lauric Oil 2023, di ibu negara pada Selasa.

Dalam pada itu, kerajaan juga akan terus bekerjasama dengan pemain industri perladangan untuk menentang naratif negatif terhadap minyak sawit seperti yang dilakukan oleh Kesatuan Eropah (EU).

Malaysia kata Fadillah, akan bergabung tenaga dengan negara pengeluar minyak sawit lain untuk memastikan salah faham dapat dihentikan.

"Adalah penting bagi industri minyak sawit Malaysia untuk terus menyokong pengeluaran minyak sawit mampan, khususnya Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) selaras dengan permintaan dunia.

"Minyak sawit Malaysia memenuhi keperluan pasaran pengguna, dan bebas risiko untuk pembelinya.

"Melalui MSPO, isu kemampanan yang dibangkitkan, khususnya kehilangan biodiversiti, konflik tanah, penebangan hutan dan buruh paksa akan boleh ditangani.

"Saya ingin menegaskan bahawa kebimbangan keselamatan makanan juga mesti diberi keutamaan sepenuhnya dan saya memuji semua usaha yang diambil oleh industri untuk memastikan kesihatan dan keselamatan tidak terjejas," katanya lagi.