KUALA LUMPUR: Farm Fresh Bhd mengesahkan rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas helikopter di Pililla, wilayah Rizal, Filipina semalam, merupakan pengarah ladangnya Jacob Mathan.
Menerusi catatan di akaun Facebook rasmi Farm Fresh, Pengarah Urusan kumpulan Loi Tuan Ee berkata, helikopter itu dilaporkan mengalami masalah enjin sewaktu lawatan ke tapak ladang berpotensi di negara itu.
Advertisement
Jacob, 35, disifatkan sebagai seorang yang bertanggungjawab dan mempunyai kemampuan yang tinggi untuk mempelajari perkara baharu. Beliau menyertai keluarga Farm Fresh sebagai pelajar latihan industri universiti pada 13 tahun lepas.
“Beliau seorang yang ceria dan menyenangkan, baik budi perkerti, dan tidak pernah menyinggung perasaan ahli keluarga Farm Fresh.
“Sepanjang beberapa tahun ini, Jacob telah secara profesional menjalankan tugasnya dengan cemerlang, membina kerjata secara berperingkat dan akhirnya menjadi pengarah ladang kami,” kata Loi.
Jacob juga, menurut Loi, menyumbang kepada peningkatan prestasi syarikat khususnya dalam segmen ladang tenusu, selain membentuk hubungan yang baik dengan ahli pasukan, kontraktor dan pembekal.
“Saya yakin Farm Fresh memiliki kepimpinan yang kuat di bahagian ladang, yang telah dibangunkan dan diperkukuh sepanjang beberapa tahun ini hasil diterajui Jacob.
“Dalam kita mengingati Jacob, marilah kita terus bekerjasama untuk menjadi lebih kuat walaupun berdepan kehilangan yang menyedihkan ini,” kata Loi.
Loi juga mengesahkan Ketua Pengarah Eksekutif Farm Fresh di Filipina, Shawn Pu, yang mengalami kecederaan, kini dalam keadaan stabil.