KUALA LUMPUR: Bekerja lebih 12 jam sehari namun upah sekadar RM2,000 sebulan adalah realiti yang kini dihadapi oleh sebahagian pekerja p-hailing, iaitu perkhidmatan penghantaran makanan di negara ini, khususnya di ibu kota.

Kata mereka keadaan itu berlaku berikutan kadar upah dikurangkan daripada RM10 pada 2020 kepada RM5 sekarang bagi setiap perjalanan. Rungutan dan keluhan mereka pula dipandang sepi oleh syarikat pengendali perkhidmatan.

Peka dengan nasib pekerja sektor itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan mereka pada 22 Julai lepas. Hasilnya, beliau dijadualkan bermesyuarat dengan penyedia perkhidmatan p-hailing pada 8 Ogos ini, memberikan harapan kepada pekerja industri yang nasib mereka bakal berubah.

"Saya mula bekerja sebagai penghantar makanan pada 2020, dan ketika itu kadar upah memang tinggi hingga RM10 satu trip. Namun tahun lepas kadar itu dikurangkan kepada RM7, dan untuk tahun ini kami hanya dapat RM5," kongsi Dhafiq Othman, 29, kepada Bernama.

Menurut anak muda itu, pendapatannya kini jauh merosot berbanding tiga tahun lepas, sekali gus memberi tekanan hidup kepadanya memandangkan dia mempunyai dua anak yang masih kecil.

Berkelulusan diploma dalam bidang syariah, Dhafiq berkata dia terpaksa bekerja dalam sektor itu kerana sukar mendapat pekerjaan yang stabil.

Peningkatan kos barangan dan perkhidmatan dewasa ini tambah membebankan pekerja sektor itu yang perlu memastikan kenderaan mereka disenggara dengan baik.



HARAPAN BESAR



Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan 97.71 peratus daripada 6,657 pekerja p-hailing adalah belia yang berumur 15 hingga 30 tahun, manakala 2.29 peratus lagi merupakan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Kajian tersebut yang dijalankan dari 1 Mac hingga 31 Dis 2022, mendapati 39.54 peratus daripada mereka mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia/Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional atau setaraf, diploma (23.4 peratus) dan ijazah sarjana muda (11.79 peratus).

Turut dinyatakan oleh DOSM dalam laporan itu ialah majoriti mereka menjadikan p-hailing sebagai sumber pendapatan utama (73.98 peratus) dan pekerjaan utama (70.35 peratus). Hanya 29.65 peratus menjadikan p-hailing sebagai pekerjaan sampingan.

"Kami berharap isu ini dapat diselesaikan dan dimuktamadkan kerajaan sepertimana jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri dalam pertemuan dengan pekerja p-hailing sebelum ini," kata Dhafiq.

Harapan serupa turut dizahirkan oleh seorang lagi pekerja p-hailing, Izam Mohamad, 22.

Dia yang bekerja dalam sektor p-hailing sejak tahun lepas, menyifatkan kadar upah RM5 itu tidak adil kerana tidak mengambil kira jarak perjalanan dan masa yang diambil oleh seseorang penghantar untuk mengambil dan menghantar makanan yang dipesan.

"Tidak ada masalah untuk kadar upah RM5 bagi jarak dekat. Tetapi, kalau perjalanan yang jauh dan memakan masa lebih 20 minit, adalah tidak adil dibayar dengan jumlah yang sama sebab kos minyak dan penyelenggaraan kami tanggung sendiri," katanya.



PERSAINGAN SENGIT



Timbalan Dekan Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Mohd Helmi Ali ketika mengulas isu itu, memberitahu Bernama kemungkinan besar pengurangan upah tersebut didorong oleh persaingan sengit antara penyedia perkhidmatan.

Ulas beliau, ini berikutan bilangan platform dan mereka yang terlibat dalam sektor perkhidmatan p-hailing di negara ini semakin bertambah, sekali gus memberi kesan kepada penawaran dan permintaan yang juga tidak lagi seperti tahun-tahun sebelum ini.

"Situasi ini tidak sama ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang menjadikan p-hailing sebagai pemain industri utama dalam menyokong kelangsungan corak hidup ketika itu. Sekarang wujud banyak penawaran (hasil pertambahan platform p-hailing), memecahkan permintaan yang sebelum ini tertumpu pada satu atau dua platform sahaja," katanya.

Situasi itu menyebabkan kadar keuntungan yang diterima pembekal perkhidmatan ini hampir sama, selain memaksa pengendali mengurangkan kadar upah kepada pekerja p-hailing demi mengekalkan pelanggan mereka.

Biarpun begitu, beliau bersetuju bahawa kadar upah pekerja p-hailing perlu disemak dan diteliti semula mengikut situasi semasa agar setimpal dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

Pada masa sama, beliau berpandangan sudah tiba masa p-hailing diiktiraf sebagai satu pekerjaan yang profesional kerana sektor itu merupakan nadi utama dalam rantaian bekalan, terutama yang melibatkan pengambilan dan penghantaran makanan.

Selain itu, pekerjaan gig ini juga banyak membantu menyumbang kepada kelangsungan hidup kumpulan masyarakat negara ini, khususnya ketika pandemik COVID-19 apabila ramai yang menceburi pekerjaan tersebut selepas diberhentikan kerja.

Penyelesaian terbaik perlu dibuat bagi meredakan hubungan dingin antara pekerja p-hailing dengan syarikat pengendali bagi mewujudkan situasi menang-menang, bukan sahaja antara mereka tetapi juga dengan vendor dan pelanggan, katanya.

"Kita tidak mahu apabila upah penghantar p-hailing dinaikkan, kos yang ditanggung pembekal atau syarikat dipindahkan kepada pelanggan, sekali gus menyebabkan kos penghantaran barang dan makanan meningkat.

"Ini akan membebankan pelanggan dan kita bimbang mereka ini (pelanggan) akan lari dan tidak mahu lagi menggunakan perkhidmatan tersebut," katanya.



PERKUKUH UPAH DAN JAGA KEBAJIKAN



Bagi pensyarah kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya Dr Mohd Zaidi Md Zabri, beliau melihat sudah tiba masa gaji minimum atau pembayaran upah setara pekerja p-hailing dikaji mengikut jumlah jam mereka bekerja.

Menurut beliau, ini penting memandangkan sebahagian besar ekonomi gig dibentuk oleh pekerja muda, dan sekiranya masalah itu tidak diatasi, boleh menyebabkan berlaku ketidaksamaan pendapatan di negara ini.

Selain itu beliau turut melihat ada keperluan untuk syarikat mengukuhkan aspek kebajikan pekerja menerusi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).

"Ini kerana data DOSM menunjukkan 27.75 peratus pekerja p-hailing tidak melakukan sebarang caruman kepada Perkeso, dan hanya 22.05 peratus yang mencarum dalam KWSP.

"Penghakisan piawaian buruh dan jaringan keselamatan sosial seperti ini bukan sahaja menurunkan kualiti pekerjaan malah membahayakan pekerja gig apabila mereka langsung tidak dilindungi daripada sebarang risiko,'' katanya.

-- BERNAMA