KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau pernah menghadap Sultan Kedah, Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, tahun lalu.

Namun beliau menegaskan pertemuan yang disertai ahli perniagaan Indonesia, Reza Chalid itu sekadar kunjungan hormat dan langsung tidak membabitkan urus niaga berkaitan aktiviti unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

"Pertemuan dengan Sultan Kedah tidak berbangkit soal REE. Kalau dia (Reza) mohon, (permohonan) itu bukan pada Sultan Kedah. Sultan Kedah panggil saya berikutan hal lain.

"Pertemuan itu tiada kaitan dengan perniagaan dalam bidang itu (REE), saya tidak mahu cakap lebih daripada itu, hanya kunjungan hormat saya dengan Sultan Kedah," kata Anwar yang ditemui selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2023 di ibu negara, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap dakwaan yang dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor beberapa hari lalu.

Antara lain, Sanusi mendakwa Anwar menemani Reza ke Kedah bagi membida hak pelombongan sumber nadir bumi di negeri itu.

Malah Sanusi turut mendakwa pertuduhan terhadapnya berhubung kecurian REE, mempunyai kaitan dengan bidaan taikun Indonesia itu untuk mendapatkan hak perlombongan galian yang menguntungkan di Kedah.