PUTRAJAYA: Pertemuan beberapa pimpinan utama UMNO dipercayai tamat selepas hampir sejam mengadakan perbincangan di Kompleks Seri Perdana di sini, malam tadi. 

Melalui pemerhatian Astro AWANI difahamkan konvoi kenderaan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat meninggalkan perkarangan Seri Perdana sekitar jam 9.11 malam.

Difahamkan, perbincangan tersebut dikatakan bermula pada jam 8 malam.

Sebelum itu, satu pertemuan tergempar melibatkan pimpinan utama UMNO hadir mengadakan mesyuarat di Menara Dato Onn, WTCKL, pada Isnin.

Perjumpaan itu dipercayai menjurus kepada perbincangan mengenai soal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


[LAPOR LANGSUNG] Mesyuarat Tergempar:'Tiada agenda perbincangan desak PM campur tangan urusan mahkamah' - Asyraf Wajdi


Bagaimanapun, mesyuarat tergempar itu tidak dihadiri Perdana Menteri yang juga Ketua UMNO Bera.

Tinjauan awal mendapati kenderaan milik Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilihat memasuki Kompleks Seri Perdana sekitar jam 6 petang, pada Isnin.

Sementara itu, jam 7.45 malam, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Velfire hitam turut dilihat memasuki kompleks itu. Namun, tidak dapat dipastikan ia milik siapa.

Seri Perdana menjadi lokasi tumpuan sejak petang tadi membabitkan desas-desus mengenai perjumpaan membabitkan 'Top 5' UMNO.