PADA Forum Khazanah Megatrends 2018 baru-baru ini, Perdana Menteri telah menyatakan hasrat kerajaan untuk mencari petunjuk baharu yang lebih tepat dan adil dalam mengukur nilai kekayaan negara dan menilai sejauh mana kekayaan tersebut dikongsi secara adil dalam kalangan rakyat.

Terbukti bahawa pengukuran sedia ada yang tertumpu kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan per kapita tidak menunjukkan keadaan sebenar kebajikan rakyat.

Contohnya, KDNK tahun 2017 mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan pada kadar 5.9 peratus.

Pertumbuhan ini adalah tertinggi jika dibandingkan dengan tahun 2015 dan 2016 yang mencatat pada kadar 5.0 peratus dan 4.2 peratus.

Walaubagaimanapun, pertumbuhan KDNK yang tinggi tidak diterjemah kepada peningkatan pendapatan keseluruhan rakyat dan mereka masih dibelenggu dengan beban kos sara hidup yang tinggi.

Ahli ekonomi keseluruhannya mengambil maklum bahawa KDNK merupakan pengukuran berbentuk agregat dan ia tidak memberi gambaran berkaitan agihan pendapatan.

KDNK tidak dapat memberi jawapan sama ada pertumbuhan ekonomi itu disumbang oleh pertumbuhan pendapatan buruh atau keuntungan perniagaan.

Disebabkan oleh kekangan pengukuran KDNK, ahli ekonomi dan penganalisis tidak boleh membuat kesimpulan mudah iaitu pertumbuhan tinggi bermakna peningkatan taraf hidup.

Tetapi apa yang berlaku kebelakangan ini rata-rata ahli ekonomi memberi komentar yang positif setiap kali pertumbuhan KDNK diumumkan.

Berdasarkan keadaan semasa, wujud kecenderungan tinggi pertumbuhan KDNK di Malaysia didokong oleh pertumbuhan keuntungan perniagaan.

Ini bersandarkan kepada dua faktor. Pertama, kebanyakan perniagaan mencatat keuntungan positif untuk tahun 2017.

Kedua, perangkaan menunjukkan pulangan daripada KDNK kepada gaji dan upah masih rendah. Secara purata bagi setiap ringgit nilai KDNK, 35 sen sahaja akan diterima dalam bentuk gaji dan upah manakala 65 sen diterima dalam bentuk keuntungan perniagaan.

Oleh kerana KDNK tidak memberi gambaran tepat tentang kebajikan rakyat, adakah kita memerlukan pengukuran baharu?

Jawapannya, ya.

Dalam keadaan ekonomi semasa, paling ideal adalah jika kita mempunyai indek kos sara hidup yang menilai tingkat pendapatan dan pergerakan harga.

Buat masa ini, kebanyakan ahli ekonomi dan penganalisis hanya menggunakan indek harga pengguna (IHP) sebagai pengukur kepada kos sara hidup.

Menguna pakai IHP semata-mata untuk memberi gambaran kos sara hidup adalah tidak tepat. Walaubagaimanapun, proses pembangunan petunjuk baharu mungkin rumit dan memerlukan masa sebelum ia boleh digunakan.

Tetapi petunjuk-petunjuk ekonomi sedia ada yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia boleh digunakan sebagai pelengkap kepada KDNK. Contohnya, maklumat pertumbuhan KDNK boleh diperinci mengikut pertumbuhan upah dan gaji, dan keuntungan.

Maklumat itu juga perlu diperinci mengikut kawasan geografi seperti bandar dan luar bandar, dan mengikut negeri.

Selain itu, pertumbuhan upah dan gaji juga perlu dibandingkan dengan pergerakan IHP. Ini akan memberi gambaran sama ada pertumbuhan KDNK meningkatkan kuasa beli atau sebaliknya.

Pengukuran IHP juga perlu ditambah baik agar ia dapat memberi gambaran sebenar harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh rakyat.


Mohd Yusof Saari ialah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands.

Beliau merupakan pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM dan juga Ketua Laboratori Kaedah Kuantitatif Analisis Dasar, Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, UPM.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.