Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan peruntukan pembangunan disalurkan ke semua kawasan Parlimen tanpa mengira parti politik Ahli Parlimen.
- Penyaluran peruntukan tidak dibuat terus kepada Ahli Parlimen, sebaliknya melalui kerajaan negeri dan kementerian berdasarkan keperluan serta keutamaan projek.
- Kerajaan terbuka mempertimbangkan keperluan tambahan pembangunan mengikut kepentingan rakyat setempat dan kemampuan kewangan semasa kerajaan.
KUALA LUMPUR: Peruntukan pembangunan untuk rakyat terus disalurkan ke semua kawasan Parlimen tanpa mengira parti politik yang diwakili Ahli Parlimen berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Kerajaan MADANI menggunakan pendekatan yang sama dalam pengagihan peruntukan pembangunan termasuk bagi membaik pulih sekolah daif, sekolah agama, jalan kecil dan masjid.
“...mengandaikan bahawa tidak ada kelulusan dari segi peruntukan, saya tidak setuju kerana peruntukan untuk rakyat disampaikan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Che Mohamad Zulkifly ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menggubal akta bagi memastikan peruntukan pembangunan disalurkan secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik, selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).
Anwar berkata kerajaan sentiasa memastikan semua kawasan Parlimen diberi pertimbangan dalam aspek pembangunan tanpa mengira parti yang diwakili Ahli Parlimen kawasan berkenaan.
Beliau memberikan contoh peruntukan Persekutuan bagi Terengganu yang meningkat daripada RM6 bilion di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu kepada RM8.2 bilion pada 2027.
“Ini yang saya nak tegaskan. Saya selalu bandingkan dengan 2022 kerana peningkatan itu besar, daripada RM6 bilion kepada RM8.2 bilion,” katanya.
Perdana Menteri berkata isu yang dibangkitkan sebenarnya berkaitan kaedah penyaluran dana secara langsung kepada Ahli Parlimen dan bukannya ketiadaan peruntukan bagi projek pembangunan di kawasan berkenaan.
Katanya peruntukan pembangunan tidak disalurkan terus kepada Ahli Parlimen, termasuk di kawasan yang diwakili parti kerajaan, sebaliknya projek ditentukan melalui urusan dengan kerajaan negeri dan kementerian berkaitan.
Beliau turut menjelaskan bahawa penyaluran peruntukan secara langsung kepada Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini dilaksanakan melalui persetujuan menerusi perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA).
Dalam pada itu, Anwar berkata keutamaan projek pembangunan negara ditentukan menerusi sesi libat urus dengan kementerian, jabatan, kerajaan negeri dan pejabat daerah, selain mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan serta kepentingan rakyat setempat.
Beliau berkata pendekatan itu menjadi asas kerajaan dalam menentukan projek yang perlu dilaksanakan bagi memastikan peruntukan pembangunan disalurkan berdasarkan keperluan dan keutamaan setiap kawasan.
“Jadi, ini dasar kita dalam menentukan projek, ertinya keutamaan pembangunan dalam kerangka belanjawan dan pembangunan negara,” katanya bagi menjawab soalan asal Che Mohamad Zulkifly berhubung formula dan kriteria diambil kira kerajaan dalam menentukan jumlah agihan peruntukan pembangunan kawasan (CDF).
Mengambil contoh Besut, Anwar berkata sebanyak RM123 juta telah diluluskan bagi 197 projek serta projek kecil yang merangkumi infrastruktur, kesihatan, perumahan, pertanian, pendidikan dan tebatan banjir.
Antara projek berkenaan ialah pemulihan Sungai Besut bernilai RM8 juta, pembinaan terminal bersepadu bas dan teksi Jertih, projek keselamatan di Pangkalan Udara Gong Kedak bernilai RM18 juta serta pembinaan Klinik Kesihatan di daerah itu dengan kos RM37 juta.
Beliau berkata kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan keperluan pembangunan tambahan berdasarkan kepentingan rakyat setempat, keutamaan projek dan kemampuan kewangan semasa kerajaan.
-- BERNAMA