PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung hampir satu jam itu, difahamkan bagi membincangkan isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Mesyuarat yang bermula kira-kira jam 5.50 petang turut dihadiri pemimpin utama parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Ia termasuk Timbalan Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Datuk Seri Fadillah Yusof; Datuk Seri Mohamad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara); dan Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP).

Bagaimanapun, setakat ini intipati yang diputuskan dalam mesyuarat berkenaan belum diketahui.

Pada 13 April lalu, Fadillah berkata pemimpin Perikatan Nasional (PN) sudah berjumpa dengannya di Parlimen, 19 Mac lalu.

Dalam pertemuan tersebut, beliau berkata pihak pembangkang menyerahkan kepada kerajaan untuk sebarang syarat bagi menyalurkan peruntukan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan sebelum ini secara prinsipnya bersetuju untuk memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang seperti yang diberikan kepada Ahli Parlimen kerajaan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata ia perlu dimulakan dengan proses rundingan oleh kedua-dua pihak terlebih dahulu untuk membincangkan kaedah yang terbaik selain mencari titik kesefahaman.