KUALA LUMPUR: Terdapat beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dalam implementasinya mencerminkan kepelbagaian dan kepentingan kaum di negara ini, kata bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.

Beliau berkata, antara peruntukan yang menggambarkan kepelbagaian kaum ialah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan iaitu semua individu adalah sama dari segi layanan dan tindakan undang-undang dan ia menjurus kepada kepelbagaian hak serta kaum.

"Tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Orang Ulu atau Dayak, semuanya sama dari segi tindakan undang-undang di bawah Perkara 8," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan tentang hak-hak istimewa orang Melayu dan kepentingan penduduk Orang Asli mana-mana negeri, Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah komuniti lain.

Justeru, beliau menegaskan, tidak begitu tepat sekiranya tedapat mana-mana pihak menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kepentingan untuk kepelbagaian kaum seperti yang didakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Jadi cukuplah menunjukkan bahawa dalam Perlembagaan Malaysia ada Perlembagaan hak, oleh itu ada kepelbagaian kepentingan bagi semua kaum. Tidaklah tepat hanya menyatakan Perlembagaan kita tidak ada kepelbagaian kaum dan kepentingan kepelbagaian komuniti," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir baru-baru ini yang menyatakan usaha mempromosi negara berbilang bangsa sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Rais juga berkata, berdasarkan Perkara 11, setiap individu di negara ini berhak mengamalkan agama masing-masing dengan aman, manakala Perkara 12 pula menyebut tentang kepentingan pendidikan masing-masing dijamin oleh Perlembagaan tanpa mendiskriminasi mana-mana warganegara atas alasan agama, ras (kaum), keturunan atau tempat lahir.

"Setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada hal-hal yang membangunkan agamanya, jadi Perkara 11 juga ialah contoh bahawa kepelbagaian kaum diiktiraf menerusi agama," katanya.

Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, sekiranya mempromosikan negara berbilang bangsa yang dimaksudkan ialah menonjolkan rakyat Malaysia berbilang etnik tetapi mendukung identiti yang diberikan oleh Perlembagaan, maka ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, identiti itu termasuk dari aspek asimilasi hidup bertuhan, setia kepada raja dan negara, berbahasa Melayu dan bertulisan Jawi, mengamalkan kesopanan dan ketatasusilaan berdasarkan nilai tempatan Malaysia dan menjunjung prinsip keluhuran Perlembagaan.

" ... serta akomodasi dalam penerimaan Islam sebagai agama Persekutuan dan negeri, adat Melayu dan adat Anak Negeri dalam kerangka Perlembagaan sebagai sumber perundangan dalam penentuan adat tempatan," katanya.

Profesor Madya Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM) itu juga berkata, usaha mempromosikan Malaysia perlu mengutamakan identiti watan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Beliau menjelaskan, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menunjukkan Islam sebagai agama dan doktrin Persekutuan yang menentukan parameter dalam penerimaan kepelbagaian warisan budaya etnik di negara ini untuk dipertimbangkan sebagai budaya kebangsaan Malaysia.

"Ada dua tahap di sini, pertama kepelbagaian budaya yang hendak diangkat sebagai budaya rasmi atau kebangsaan; nilai dan bentuknya tidak boleh dilihat bercanggah dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Kedua, adat budaya termasuk kepercayaan etnik tempatan tertentu yang bercanggah dengan akidah agama Islam, amalan tersebut boleh diamalkan dalam kalangan mereka dan tidak boleh diangkat menjadi identiti budaya dan kepercayaan rakyat atau bangsa Malaysia," katanya.

- BERNAMA