KUALA LUMPUR: Inisiatif kerajaan memperuntukkan RM100 juta dalam pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) menerusi Belanjawan 2024 mencerminkan keseriusan kerajaan dalam menangani kepentingan penguasaan STEM dalam negara ketika ini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang berkata pihaknya juga menyokong inisiatif kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas STEM rentas kementerian dalam menetapkan sasaran dan langkah bagi meningkatkan penglibatan pelajar sekolah.

"Tidak dinafikan, kita sekarang berada dalam fasa 'kelaparan STEM', tidak banyak pelajar yang berminat untuk memasuki aliran STEM ini. Penubuhan jawatankuasa ini adalah satu langkah paling berkesan ke arah memajukan STEM negara.

"Ini menunjukkan kerajaan amat serius dalam memastikan minat pelajar dalam STEM dapat ditingkatkan selaras dengan hasrat kerajaan memastikan STEM menjadi lebih menarik dan mampu dijadikan medium utama penggerak kemajuan negara," katanya ketika dihubungi Bernama.

Jumaat lepas, semasa sesi pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan menyediakan RM100 juta untuk menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah dan memperoleh peralatan baharu untuk pembelajaran STEM.

Bagaimanapun Aminuddin berpandangan peruntukan RM100 juta termasuk untuk penyelenggaran makmal komputer itu dilihat tidak memadai dalam memastikan makmal komputer yang menjadi asas penting pendigitalan pendidikan negara dapat memainkan peranannya dengan berkesan.

Berhubung peruntukan RM100 juta menerusi Karamah Insaniah dalam membantu murid yang tercicir pelajaran susulan COVID-19, beliau berkata NUTP tidak menjangka pakej itu akan diumumkan, sekali gus ia menyokong penuh usaha membantu pelajar sekolah agar tidak ketinggalan dalam pembelajaran.

"Memang kita ada 'lost generation' akibat COVID-19, dan langkah ini mampu mengembalikan semula generasi yang hilang ini. Di peringkat sekolah, guru-guru begitu gigih dengan kaedah tersendiri bagi memulihkan generasi ini, dan ini merupakan satu cabaran besar selama ini," katanya.

Senada dengan pandangan itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Datuk Mohamad Ali Hasan berkata inisiatif Karamah Insaniah itu perlu disegerakan supaya tidak ramai lagi pelajar keciciran dan tidak ingin meneruskan pendidikan.

Beliau turut berharap peruntukan berjumlah RM180 juta untuk pembinaan 18 blok baharu pendidikan khas termasuk RM30 juta untuk membekal peralatan sokongan pendidikan khas dan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) tidak tertumpu di kawasan bandar-bandar utama sahaja.

"Inisiatif seperti motivasi dan latihan terkini bagi pendidik dalam pendidikan khas juga perlu dipertimbangkan sewajarnya. Ini termasuk juga hak mereka (golongan OKU) untuk mendapatkan pendidikan sepanjang hayat yang berkualiti tanpa mengira agama dan bangsa," katanya.

Mengenai peruntukan RM2.4 bilion yang disediakan untuk membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam termasuk guru, Mohamad Ali berkata usaha itu perlu diberikan perhatian sepenuhnya bagi memastikan para guru mempunyai kediaman yang selesa dan berkualiti.

"Diharapkan setelah dibaiki tempat-tempat kediaman ini, kos penyelenggaraan sentiasa disediakan dan bukan hanya 'mengikut musim'. Selain itu, mana-mana rumah guru yang tidak didiami perlu dimanfaatkan sebaik mungkin agar ia tidak terbiar lama," katanya.

Menurutnya Belanjawan 2024 dilihat mampu memastikan pendidikan negara berada di tahap yang berkualiti, namun beliau meluahkan sedikit kekecewaan berikutan tiada kesinambungan bagi inisiatif memartabatkan Bahasa Melayu dan Inggeris di peringkat sekolah.

Anwar turut mengumumkan Kementerian Pendidikan akan diperuntukkan RM58.7 bilion berbanding RM55.2 bilion pada tahun 2023, ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen.

Antara yang turut diumumkan dalam belanjawan itu adalah RM1.9 bilion disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara, RM2.5 bilion bagi projek pembinaan 26 buah sekolah baharu dan RM150 juta bagi pemberian bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin kepada murid sehingga tingkatan tiga.

-- BERNAMA