MALAYSIA
Peruntukan RM100,000: Penganjur pastikan penganjuran RXZ Members lebih baik

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan itu bagi menyokong penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025 yang akan berlangsung pada 23 Ogos ini di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Peruntukan awal RM100,000 bagi menyokong penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025 akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan acara itu berjalan lebih teratur, selamat dan berimpak tinggi.
Ringkasan AI
- Kerajaan memperuntukkan RM100,000 bagi menyokong penganjuran Program RXZ Members 7.0 yang dijadual berlangsung pada 23 Ogos di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu, sebagai pengiktirafan terhadap komuniti permotoran dan impak ekonomi setempat.
- Program dua hari itu dijangka menarik puluhan ribu pengunjung dan menampilkan pelbagai aktiviti seperti bual bicara bersama Ustaz Azhar Idrus, motorshow, cabutan bertuah, konvoi selebriti serta persembahan artis tempatan.
- Penganjur dan tokoh permotoran seperti Wazi Abdul Hamid menyambut baik sokongan kerajaan, namun menekankan keperluan penambahbaikan penganjuran agar lebih teratur dan selamat berbanding edisi sebelum ini.
"Ia juga menjadi suntikan semangat kepada pihak penganjur, peserta dan peminat motosikal untuk menjayakan acara ini yang dijangka menarik puluhan ribu pengunjung dari seluruh negara.
"Kami yakin sokongan kerajaan ini bukan sahaja mengangkat imej RXZ Members 7.0 sebagai acara ikonik nasional malah turut memberikan impak ekonomi kepada penduduk setempat melalui sektor pelancongan, perhotelan, makanan dan peruncitan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Semalam, Anwar mengumumkan peruntukan itu bagi menyokong penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025 yang akan berlangsung pada 23 Ogos ini di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu.
Perdana Menteri berkata sokongan itu mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan komuniti permotoran sebagai pemangkin semangat kebersamaan, pengukuh silaturahim dan penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi setempat menerusi pelbagai aktiviti berimpak tinggi.
Antara aktiviti yang bakal berlangsung dalam program dua hari itu termasuk Bual Bicara RXZ Members Bersama Ustaz Azhar Idrus, gerai barangan dan makanan serta cabutan bertuah motosikal dan umrah.
Turut dijadualkan pertandingan Motorshow dan Dyno Battle selain Konvoi Selebriti Malaysia dan Influencer antaranya Rosyam Nor, Pablo Amirul serta pelumba motosikal profesional Wazi Abdul Hamid.
Selain itu, pelbagai persembahan daripada artis tempatan antaranya Zamani Slam akan turut diadakan manakala majlis penutup bakal dimeriahkan dengan acara mengibarkan Jalur Gemilang serta penyampaian hadiah pertandingan dan hadiah utama RXZ Members 7.0 2025.
Sementara itu, Wazi yang merupakan bekas jaguh lumba motor negara berkata peruntukan itu memberikan kelebihan kepada peminat dunia permotoran dan merancakkan industri pelancongan domestik di Terengganu.
"Mungkin kerajaan melihat dari sudut pandangan berbeza untuk memastikan kelangsungan program ini berjalan lancar cuma penganjuran ini perlu diperkemas dengan lebih baik bagi mengelakkan beberapa insiden yang berlaku pada penganjuran sebelum ini," katanya.
Beliau turut menyeru peminat aktiviti permotoran untuk mengambil peluang daripada sokongan diberikan oleh pihak kerajaan itu dengan menjadikan perhimpunan tersebut satu program yang bermanfaat dan membentuk diri mereka menjadi penunggang motosikal berhemah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami