KUALA LUMPUR: Peruntukan RM4.7 billion untuk menaik taraf projek LRT3 (LRT Laluan Shah Alam) dan juga sistem sokongan bakal memberi manfaat kepada dua juta pengguna pengangkutan awam itu.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan memaklumkan kawasan itu meliputi koridor barat Lembah Klang dari Johan Setia, Klang ke Bandar Utama, Petaling Jaya.

"Ia adalah satu berita baik bagi pengguna pengangkutan awam, khususnya bagi mereka yang berada di koridor barat Lembah Klang yang meliputi kawasan-kawasan dari Johan Setia, Klang ke Bandar
Utama, Petaling Jaya.


"Ia bakal memberi manfaat kepada 2 juta pengguna di sepanjang koridor berkenaan," kata kenyataan berkenaan. 

Dalam pada itu, peruntukan tersebut akan digunakan bagi mengembalikan semula lima stesen yang ditangguhkan pembinaannya sebelum ini.

Ia melibatkan beberapa stesen antaranya Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik yang dijangka mampu menambah baik kesalinghubungan perkhidmatan LRT3.

Selain itu, peruntukan ini juga merangkumi perolehan tiga set tren tambahan, penambahbaikan sistem sokongan dan perluasan depoh sedia ada di Johan Setia.

Tambah kenyataan, perolehan 150 unit bas elektrik dan pembinaan tiga depoh bas dengan kos RM600 juta ringgit bagi menyediakan kemudahan bantuan pertama dan terakhir (First Mile Last Mile) untuk projek LRT3 adalah langkah menyokong pelepasan karbon sifar bersih.

Sementara itu, Prasarana menyambut baik inisiatif-inisiatif lain bagi sektor pengangkutan awam, untuk manfaat rakyat Malaysia selari dengan agenda memartabatkan pengangkutan awam.