LIPIS: Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan RM800,000 bagi tujuan membaik pulih jalan Jerantut-Benta di laluan FT 64 Seksyen 35.10 berhampiran pejabat Felcra Jaya Putra yang mengalami runtuhan cerun.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pihaknya kini sedang membuat kajian dan penilaian berkaitan runtuhan cerun yang berlaku di kawasan berkenaan.

“Bagi jalan Benta ke Jerantut, KKR telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM800,000 kepada syarikat Pintas Utama iaitu konsesi cerun dan mereka bertanggungjawab untuk membaiki runtuhan cerun tersebut.

“Sekarang kita dalam proses membuat kajian, kena ambil masa dan bila-bila masa mereka boleh membina jalan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek PR1MA Pahang Perumahan Makmur Kuala Lanar Jaya (Fasa 2) dan Majlis Penyampaian Sumbangan Mengimarahkan Bulan Ramadan Tahun 1444 Hijrah / 2023 Masihi di Padang Awam Projek Perumahan Makmur Kuala Lanar Jaya (Fasa 2) pada Sabtu.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis turut melahirkan keyakinan bahawa kerja-kerja baik pulih itu dapat disiapkan dalam tempoh selewat-lewatnya empat bulan lagi.

“Saya percaya dengan kos RM800,000 ini kerja-kerja membaik pulih cerun tersebut boleh disiapkan dalam masa antara tiga sehingga empat bulan dan kontraktor ini adalah kontraktor utama dalam aspek cerun runtuh.

“Buat seketika ini saya faham bahawa masyarakat dari Lipis memang agak jauh sedikit untuk sampai ke bandar Jerantut, terpaksa membuat pusingan di jalan Atong-Kerambit dan juga Jerantut.

“Kita cuba sedaya upaya untuk menyegerakan dan menyiapkan kerja tersebut. Saya yakin boleh siap cepat kerana peruntukkan telah diberi dan cerun itu bukan dikategorikan sebagai kerja yang sangat besar,” katanya.

Jalan Jerantut-Benta ditutup kepada semua kenderaan berat selama tiga bulan mulai 24 Januari lepas berikutan tanah runtuh akibat kerosakan pada pembentung dan struktur jalan melibatkan penutupan laluan FT 64 Seksyen 35.10 berhampiran pejabat Felcra Jaya Putra.