KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka meningkatkan peruntukan subsidinya tahun depan berikutan kenaikan harga minyak yang seterusnya boleh membawa kepada subsidi tinggi bagi produk petroleum, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata perbelanjaan subsidi negara boleh meningkat lebih tinggi pada masa hadapan di tengah-tengah kenaikan harga tenaga global terutamanya sekiranya kerajaan tidak dapat meminimumkan jurang diesel bersubsidi dan yang tidak bersubsidi.

Harga minyak mentah mencecah AS$80 setong bulan lepas dan para penganalisis menaikkan unjuran minyak mereka bagi 2024 kepada AS$100 setong.

"Amaun yang kita bayar sekarang sebenarnya adalah kecil berbanding jumlah yang perlu kita bayar pada masa hadapan," kata Rafizi kepada pemberita selepas majlis pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor Ke-28 "Raising the tide, lifting all boats" oleh Bank Dunia, hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan hari ini melaporkan Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan subsidi berjumlah RM55.443 bilion pada 2022, peningkatan 322.1 peratus atau RM42.309 bilion daripada RM13.134 bilion pada 2021.

Subsidi bagi produk petroleum merekodkan peruntukan tertinggi sebanyak RM45.184 bilion atau 81.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan.

Rafizi berkata bahawa kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan bagi subsidi menyeluruh yang mana ia tidak lagi mampan.

"Ia menjejaskan (mereka) yang sepatutnya mendapat perlindungan yang lebih baik dan bantuan yang lebih baik," katanya.

Mengulas mengenai jangkaan harga minyak lebih tinggi tahun depan, beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan pantas untuk mengelakkan bil subsidi yang melonjak tinggi.

"Jangkaan (harga) minyak yang lebih tinggi bermakna kita perlu bertindak pantas kerana walaupun pada (purata) AS$80 setong, kita menyasarkan perbelanjaan subsidi sekitar RM50 bilion.

"Jadi, jika ia meningkat kepada AS$100 setong, bil subsidi akan meningkat (malahan) lebih tinggi. Dan (selagi) ada subsidi menyeluruh, ia akan menjejaskan penggunaan," kata Rafizi.


-- BERNAMA