NATIONAL
Perutusan Khas Aidilfitri: PM seru rakyat Malaysia hormati hubungan kaum, agama

Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tanpa sikap hormat-menghormati, kestabilan dan keamanan yang diharapkan tidak akan dapat dijamin. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menyeru rakyat Malaysia untuk terus mengamalkan sikap hormat-menghormati dalam memperkukuh hubungan antara pelbagai kaum dan agama, bagi memastikan kestabilan serta keamanan negara terus terpelihara.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tanpa sikap hormat-menghormati, kestabilan dan keamanan yang diharapkan tidak akan dapat dijamin.
Beliau turut mengingatkan bahawa penting untuk mengangkat martabat insan, seperti yang dijelaskan dalam konsep walaqad karamna bani Adam dan karamah insaniah, yang mengiktiraf manusia sebagai makhluk yang luhur dan merdeka.
"Dalam sempena ini juga, baik Ramadan serta Aidilfitri Mubarak kita terus tekankan kepentingan mengangkat martabat insan, walaqad karamna bani Adam, karamah insaniah sebagai makhluk yang luhur dan merdeka, menjalin hubungan antara kaum dan penganut agama lainnya, kerana ini perlu kita pertahankan, kerana tanpa sikap hormat-menghormati di antara satu sama lain dan juga menanam sikap ihsan serta kasih sayang di antara kita, negara ini tidak akan dapat menjamin kestabilan, keamanan, yang diharapkan," katanya dalam Perutusan Khas Aidilfitri di sini, pada Ahad. Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkongsi pengalamannya sepanjang bulan Ramadan ini, menyertai siri Program Ihya’ Ramadan di beberapa kementerian dan negeri.
"Sepanjang bulan Ramadan ini, saya telah berpeluang mengikuti siri Program Ihya’ Ramadan di beberapa
Kementerian, dan juga beberapa negeri, Selising, Tawau, Chukai, dan beberapa tempat lain," ujarnya.
Beliau menyifatkan program tersebut sebagai pengalaman yang sangat berharga kerana berpeluang turun ke peringkat akar umbi untuk mendengar keluhan rakyat, menerima usulan mereka, serta menilai keberkesanan pelaksanaan dasar oleh Kerajaan Persekutuan, negeri, dan pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, Anwar menegaskan pertumbuhan ekonomi negara perlu diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat.
"Pertumbuhan ekonomi yang dicapai harus dapat dirasai oleh rakyat, dan peningkatan taraf hidup mereka harus menjadi fokus utama kita," ujarnya.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri berharap sambutan Aidilfitri kali ini disambut dengan penuh kesedaran, mengangkat martabat sebagai manusia yang berwibawa, berakhlak mulia, dan melaksanakan tugas masing-masing dengan penuh amanah.
"Mudah-mudahan dengan pembentukan nilai baru, memberikan penegasan tentang disiplin, integriti dan
juga kesihatan yang lebih baik," tambahnya.
Anwar turut mengingatkan rakyat untuk lebih prihatin terhadap nasib jiran, kariah, serta masyarakat yang tersisih dan terbiar, termasuk mereka yang terkesan dengan bencana malapetaka dan kezaliman di Gaza, Palestin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami