Seorang perwakilan yang menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke-58 hari ini mencadangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipilih sebagai Perdana Menteri ke-7, sekiranya pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Perwakilan dari Dewan Ulama, Hairun Nizam, dalam perbahasannya berkata Abdul Hadi adalah calon paling layak untuk menjadi Perdana Menteri.

Beliau juga menegaskan bahawa sebagai ahli PAS yang merupakan anak didik kepada parti Islam itu, adalah tidak wajar mereka berkempen untuk orang lain menjadi pemimpin.

“Saya ingin bertanya kepada perwakilan, siapa orang yang paling terbaik untuk memimpin kerajaan Malaysia kalau bukan Tuan Guru Presiden?” katanya kepada barisan perwakilan.

Tegas Hairun lagi, untuk membentuk negara Islam, pemimpin yang tertinggi dalam mentadbir negara haruslah orang yang paling arif berkenaan hukum Allah dan Islam.

Pakatan pembangkang sebelum ini telah sepakat mahukan ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Semalam penasihat DAP Lim Kit Siang dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat menegaskan sekali lagi yang bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya mereka menang pada PRU13.

Perhimpunan itu turut dihadiri oleh Abdul Hadi dan Anwar.