TAIPING : Polis mengesahkan menerima laporan mengenai tiga pesakit COVID-19 melarikan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kompleks Rakan Muda Taiping di Kamunting pada Rabu malam.

Bagaimanapun, dua daripada mereka berjaya ditahan semula manakala usaha mengesan seorang lagi sedang giat dijalankan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan tiga pesakit berkenaan yang berumur antara 20 hingga 35 tahun melarikan diri semasa proses pendaftaran kira-kira jam 7.15 malam.

“Kesemua pesakit tersebut perlu menjalani kuarantin di PKRC selama 10 hari,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kira-kira jam 11 malam, Balai Polis Kamunting telah menerima maklumat mengenai dua lelaki yang melarikan diri itu sedang bersembunyi di dalam stor sebuah rumah di Kamunting.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis telah pergi ke lokasi berkenaan dan mendapati dua pesakit sedang bersembunyi dalam stor di bahagian belakang rumah tersebut.

“Setelah mengesahkan identiti pesakit tersebut, anggota telah meminta bantuan ambulan KKM untuk urusan mengambil kedua-dua pesakit dan dibawa semula ke PKRC untuk menjalani kuarantin,” ujarnya.

Pihak polis bagaimanapun menafikan bahawa pesakit-pesakit itu telah berkeliaran di kawasan pasar, bank dan juga di tempat tumpuan awam seperti yang tular dalam media sosial.