Skip to main content

Malaysia

Pesara guru rugi RM15,000 diperdaya sindiket penipuan menyamar pegawai polis

51744780752_TBGENERICMACAUSCAM.jpg
Mangsa 'ditakutkan' dengan dakwaan memiliki saman mahkamah, selain terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram serta sindiket dadah. - Gambar hiasan
Advertisement

KOTA BHARU: Polis mengesahkan seorang pesara guru berusia 75 tahun di Bachok kerugian kira-kira RM15,000 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai polis pada 12 Sept lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mangsa turut menyerahkan dua kad ATM dan seutas rantai leher emas bersama loket milik isterinya sebelum polis menahan seorang wanita berusia 31 tahun sehari kemudian di sekitar Kota Bharu bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kejadian bermula apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dirinya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

“Mangsa dimaklumkan mempunyai saman mahkamah berjumlah RM25,000 dan didakwa terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram serta sindiket dadah yang boleh dikenakan hukuman penjara 15 tahun.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu yang mendakwa dirinya pegawai kanan polis Bukit Aman menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusoff berkata, mangsa kemudian diarahkan merahsiakan perkara berkenaan sebelum diminta menyerahkan dua kad ATM serta rantai leher emas bersama loket milik isterinya, kononnya untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat yang akan datang ke rumah.

Beliau berkata kira-kira 5 petang hari yang sama, seorang wanita menaiki sebuah kereta datang ke rumah mangsa dan mengambil barangan berkenaan sebelum beredar.

“Rantai emas itu kemudiannya dijual di sebuah kedai emas di Kota Bharu pada hari yang sama manakala sebahagian wang hasil jualan dimasukkan ke akaun pihak ketiga.

“Berdasarkan keterangan awal, suspek menerima arahan menerusi WhatsApp daripada individu yang tidak dikenali untuk mengambil barangan mangsa,” katanya.

Mohd Yusoff berkata mangsa bagaimanapun sempat menghubungi pihak bank bagi menyekat kad ATM berkenaan dan tiada transaksi dikesan.

“Polis merampas dua kad ATM milik mangsa, sebuah kereta Perodua Axia, resit memasukkan wang ke dalam akaun dan resit kedai emas manakala rantai emas berkenaan berjaya diperoleh semula daripada kedai emas terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement