KUANTAN: Wang hasil sawit keluarga, simpanan sendiri dan pencen arwah suami milik seorang pesara guru yang berjumlah RM91,980 lesap selepas terperdaya dengan sindiket penipuan dalam talian.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata wanita berusia 62 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon pada Jumaat lepas, daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan di Putrajaya dan memberitahu mangsa telah membeli ubat dalam kualiti banyak daripada sebuah klinik di Kedah.

Beliau berkata panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada individu yang kononnya pegawai polis dan memaklumkan maklumat peribadi mangsa telah terlibat dengan sindiket pengubahan wang haram dan aktiviti dadah.

"Mangsa diminta memberikan maklumat bank dan membuat transaksi sebanyak empat kali ke akaun yang diberikan oleh suspek sehingga mengalami kerugian sebanyak RM91,980," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata mangsa yang menyedari dirinya terpedaya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mendedahkan maklumat bank bagi mengelak ditipu dan sentiasa melakukan semakan dengan agensi berkaitan atau polis sekiranya menerima panggilan mencurigakan.

"Masyarakat juga dinasihatkan agar kerap membuat semakan atas kemasukan dan pengeluaran wang yang mencurigakan dalam akaun sendiri supaya tidak menjadi suspek keldai akaun," katanya.

--BERNAMA