JOHOR BAHRU: Seorang pesara pensyarah dari sebuah universiti awam kerugian lebih RM1 juta, selepas terpedaya dengan pelaburan yang tidak wujud secara dalam talian.

Ketua Polis Johor CP M.Kumar berkata lelaki berusia 61 tahun itu, membuat laporan polis pada 22 Mac.

Beliau berkata mangsa mendakwa berhubung dengan seorang individu di aplikasi WhatsApp selepas menyertai pelaburan dikenali sebagai 'Gold Futures XAUUSD', yang diiklankan di Facebook pada Disember tahun lepas.

"Individu tersebut memberikan penerangan mengenai pelaburan tersebut dan mangsa dijanjikan pulangan antara lima hingga lapan peratus dari jumlah modal dalam masa sehari dan pada setiap kali traksaksi pelaburan dibuat.

"Bagaimanapun, mangsa mengesyaki ditipu setelah gagal mengeluarkan sebarang keuntungan selepas membuat pembayaran ke beberapa akaun berjumlah lebih RM1 juta," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kumar menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai sesuatu tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan dengan mudah.

Semakan sesuatu pelaburan katanya boleh dibuat menerusi agensi sepertinya, atau Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti bagi mendapatkan kepastian serta maklumat lanjut.

"Selain itu, gunakakan perkhidmatan 'Semak Mule' di dalam talian bagi menyemak status akaun bank dan nombor telefon suspek sebelum membuat sebarang bayaran," katanya.

-- BERNAMA