ALOR GAJAH: Seorang pesara di sini kerugian sebanyak RM194,210 akibat diperdaya sindiket penipuan yang mendakwanya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata mangsa iaitu seorang wanita berusia lewat 50-an menerima panggilan telefon daripada wanita bernama Faridah yang mendakwa sebagai peguam ketika mangsa berada di rumahnya, kira-kira 8.30 malam pada 21 Dis lepas.

"Suspek mendakwa mangsa yang juga bekas kerani agensi kerajaan terlibat dalam pengubahan wang haram sebelum perbualan mereka disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya, Selangor bagi membuat laporan polis.

"Seorang lagi suspek yang menyamar sebagai polis kemudian mengesahkan nama mangsa terlibat dalam jenayah itu dan terdapat waran tangkap atas nama mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa menafikan penglibatannya dalam jenayah itu tetapi beliau telah disoal siasat dan diminta memberikan segala butiran akaun bank termasuk jumlah baki yang dimilikinya.

Katanya mangsa juga diarah membuat akaun bank baharu dan memindahkan semua wang miliknya itu ke dalam akaun baharu berkenaan bagi tujuan siasatan.

Arshad berkata akibat diperdaya sindiket itu, mangsa telah memindahkan kesemua wang miliknya berjumlah RM194,210 secara berperingkat bermula 28 Dis 2022 hingga 2 Jan 2023 dan mangsa menyedari semua wang tersebut kemudian telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga tanpa pengetahuannya pada 6 Jan lepas.

Beliau berkata mangsa membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah pada 24 Mac lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA