JOHOR BAHRU: Akibat percaya dengan janji manis seorang wanita yang ingin mengirim barangan dan duit tunai berjumlah  AS$2.8 juta, seorang pesara lelaki mengalami kerugian RM1.87 juta selepas terpedaya dengan sindiket 'parcel scam'.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, kejadian bermula apabila mangsa berusia 67 tahun itu berkenalan dengan seorang wanita yang mengaku sebagai warga Brazil menerusi aplikasi Facebook sejak Mei lalu.

Katanya, wanita terbabit turut mendakwa dirinya bekerja sebagai doktor di United Kindom, telah berjanji untuk mengirim barang dan wang tunai kepada mangsa selepas dua minggu berkenalan.

"Pada 13 Jun lalu, seorang lagi suspek perempuan yang mengaku sebagai ejen penghantaran barang telah menghubungi mangsa dan meminta mangsa membuat pembayaran bagi cas servis penghantaran barang dan wang tunai yang dijanjikan.

"Mangsa yang juga seorang pesara syarikat swasta telah menggunakan wang simpanannya untuk melakukan sebanyak 11 transaksi pemindahan wang secara atas talian ke dalam akaun-akaun bank yang telah diberikan oleh ejen penghantaran tersebut.

"Mangsa telah sedar dirinya ditipu kerana sehingga kini masih belum menerima barang dan wang tunai yang dijanjikan suspek selain ejen penghantaran tersebut juga gagal dihubungi.

"Susulan itu, satu laporan polis mengenai kejadian itu telah diterima pada Isnin (29 Ogos)," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Selasa.

Menurut Rupiah, mangsa telah rugi sebanyak RM1,871,540 hasil transaksi yang dibuat kepada akaun bank terbabit.

Jelas beliau, kes berkenaan telah disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, selain boleh dikenakan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Tambahnya, orang awam yang menerima mesej ataupun panggilan telefon berkenaan sebarang tawaran-tawaran yang meragukan digesa supaya segera melaporkannya kepada pihak polis bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

"Orang awam juga sentiasa disaran agar mengambil langkah untuk memuat turun aplikasi CCID untuk tujuan semakan sebelum membuat apa-apa pembayaran secara perbankan online," katanya lagi.