Kotak hitam pesawat latihan Aermacchi MB-339 yang terhempas di Kampung Pandan Dalam, Nenasi, Pahang pada Selasa lalu akan dihantar ke pihak Pengeluar Peralatan Tulen OEM untuk dianalisis.

Panglima Tentera Udara DiRaja Malaysia TUDM, Jeneral Tan Sri Roslan Saad, berkata ia bagi mengenalpasti punca sebenar kemalangan berkenaan.

Pada masa sama, siasatan menyeluruh turut dijalankan pihak TUDM, mengambil kira pelbagai aspek merangkumi teknikal, kesilapan latihan dan kesilapan manusia.

“Data kotak hitam itu akan dihantar ke OEM dan selepas itu baru kita boleh memberi pengesahan,” katanya.

BACA: Pesawat pejuang TUDM terhempas di Pekan, dua anggota cedera ringan

BACA: Pesawat terhempas disiasat menyeluruh - Panglima TUDM

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian sayap penerbangan kursus asas penerbangan siri 77 Palang 2016 (77/2016) di Kolej Tentera Udara di sini hari ini.

GALERI FOTO: Pesawat pejuang TUDM terhempas di Pekan, dua anggota cedera ringan

Dalam kejadian sekitar pukul 12.45 tengah hari itu, pelatih penerbangan, Leftenan Mohd Hakimi Hairi patah kaki manakala jurulatih, Mejar Nazrul Hafiz Zaimi tidak mengalami sebarang kecederaan.