KUALA LUMPUR: Sebarang perkongsian melibatkan gambar atau video mangsa tragedi nahas pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina, petang semalam, boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pada masa ini, apa yang penting ialah menghormati dan menunjukkan empati yang tinggi pada keluarga mangsa.

Justeru, MCMC mengingatkan orang ramai untuk menjaga sensitiviti dan mengelakkan diri daripada berkongsi gambar mangsa tragedi.

"Berkongsi gambar mahupun rakaman video mangsa nahas berkenaan bukan sahaja boleh menyinggung perasaan keluarga mangsa malah melanggar prinsip serta etika yang paling asas.

"Adalah penting untuk semua individu untuk membuat pertimbangan  sewajarnya dengan menurunkan gambar mangsa tragedi dan tidak menyebar atau berkongsi lanjut kandungan berkenaan," kata suruhanjaya itu dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

MCMC dalam masa sama menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada keluarga mangsa nahas itu.

Pada Khamis, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan, 10 individu maut membabitkan lapan penumpang dan kru pesawat.

Dua lagi mangsa adalah orang awam yang menaiki sebuah kereta dan motosikal yang melalui jalan itu ketika pesawat berkenaan terhempas.

Petang semalam, negara dikejutkan dengan nahas sebuah pesawat terhempas berhampiran kawasan perumahan di Elmina di Seksyen U16, di Shah Alam.

Pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang sebelum terhempas.