KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang dilantik di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dilihat mampu memastikan hak dan kebajikan kanak-kanak terus terpelihara sementara Suruhanjaya Kanak-Kanak ditubuhkan.

Pesuruhjaya Suhakam Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata ini kerana fungsi jawatan itu ialah memastikan sebarang pencabulan hak kanak-kanak diambil tindakan segera.

"Tugas Pesuruhjaya Kanak-Kanak ini nak memastikan kalau ada kanak-kanak didera, siasatan segera akan diambil dan kalau ada yang dituduh di mahkamah, pesuruhjaya perlu pastikan kanak-kanak tidak dilayan seperti tertuduh dewasa seperti tidak menggarinya dan kita perlu pastikan hak mereka tidak terabai dan terus menerus dianiaya.

"Pesuruhjaya Kanak-Kanak juga perlu mengadakan lawatan berkala ke semua rumah kanak-kanak seperti Sekolah Henry Gurney, Tunas Bakti, asrama akhlak dan rumah kebajikan kanak-kanak swasta dan kerajaan untuk dipantau sama ada kanak-kanak ini dijaga dengan baik atau sebaliknya," katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan Pesuruhjaya Kanak-Kanak dilantik menganggotai Suhakam berkuat kuasa serta-merta dalam usaha menangani masalah penderaan dan sosial melibatkan kanak-kanak.

Sebelum ini, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) memaklumkan kerajaan komited dalam penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak sebagai suatu badan bebas yang dapat memantau dan memelihara hak kanak-kanak di Malaysia, namun, penubuhannya memerlukan pandangan pelbagai pihak berkepentingan dan juga penggubalan suatu akta.

Dalam pada itu, Noor Aziah yang juga bekas Pesuruhjaya Kanak-Kanak bagi sesi 2019 hingga 2022 berkata tugas sebagai pesuruhjaya perlu mempunyai kebebasan dalam membuat keputusan termasuk mengeluarkan kenyataan berkenaan sesuatu kes melibatkan kanak-kanak kepada media.

Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia itu turut menyuarakan keperluan peruntukan yang sewajarnya dalam usaha memastikan pesuruhjaya yang dilantik dapat menjalankan tugas dengan berkesan termasuk kempen kesedaran dan pendidikan mengenai hak terhadap 9.7 juta kanak-kanak di negara ini.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Muzaffar Syah Mallow pula berpandangan usaha melindungi golongan kanak-kanak perlu ditekankan melalui penguatkuasaan undang-undang sedia ada serta peranan masyarakat sekeliling dalam melindungi golongan itu.

Katanya Malaysia sudah memiliki sebuah akta khusus bagi menjaga serta melindungi kanak-kanak iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang memberi fokus kepada aspek pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan.

"Pada 2016 pindaan telah dilakukan terhadap Seksyen 31 (1) Akta 611 yang jelas menunjukkan kepada kita semua bahawa ibu bapa dan penjaga perlu memainkan peranan mereka dalam melindungi golongan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka.

"Tindakan keras boleh diambil terhadap ibu bapa atau penjaga yang gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dalam melindungi golongan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka," katanya.

-- BERNAMA