Selepas tular kisah 'ayam rendang perlu rangup' berikutan peserta MasterChef UK dari Malaysia, Zaleha Kadir Olpin yang disingkir kerana ayam rendangnya tidak rangup dan garing, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell bertindak 'sekolahkan' juri-juri pertandingan masakan popular itu.

Treadell menerusi Twitternya pada Selasa menjelaskan rendang "tidak pernah rangup" dan mungkin telah dikelirukan dengan ayam goreng.

"Rendang adalah hidangan ikonik Malaysia dan tidak seharusnya dikelirukan dengan Indonesia."

"Ia boleh jadi ayam, kambing atau daging lembu. Ia tidak pernah rangup dan tidak patut dikelirukan dengan ayam goreng yang kadang-kala dihidangkan dengan nasi lemak," kata Treadell.

Tweet itu ditujukan kepada kedua juri itu, Gregg Wallace dan John Torode, apabila Treadell juga tag kedua akaun Twitter mereka pada status berkenaan.


Tweet berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata merasakan bahawa Treadell adalah individu yang paling sesuai memberi perjelasan terbabit kerana beliau merupakan warga Britain yang dilahirkan dan menetap di Malaysia.

Treadell yang dilahirkan di Ipoh, Perak mula berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia sejak 2014.

BACA: Gara-gara 'ayam rendang tidak rangup', netizen serang YouTube MasterChef

BACA: 'Mak cik dan pak cik bawang' Nusantara bersatu, laman YouTube MasterChef UK dipadam

BACA:
Ayam rendang 'crispy': Minta maaf sajalah, jangan ego - Chef Wan