Skip to main content

Malaysia

Peta interaktif THhujjaj bantu jemaah tersasar, maktab jadi tunjang operasi haji

Ketua Operasi Maktab
Mohd Fahmi berkata ciri peta interaktif itu dibangunkan oleh Jabatan Haji dan kini diintegrasikan secara langsung ke dalam aplikasi THhujjaj bagi memudahkan pergerakan jemaah di Mekah, Masyair dan Madinah. - Gambar/ Tabung Haji

MEKAH: Jemaah haji Malaysia digalakkan memanfaatkan sepenuhnya aplikasi THhujjaj, khususnya ciri peta interaktif terkini, bagi memastikan mereka sentiasa mengetahui lokasi semasa dan tidak tersasar ketika berada di Tanah Suci.

Ketua Operasi Maktab, Mohd Fahmi Kamarudin, berkata ciri peta interaktif itu dibangunkan oleh Jabatan Haji dan kini diintegrasikan secara langsung ke dalam aplikasi THhujjaj bagi memudahkan pergerakan jemaah di Mekah, Masyair dan Madinah.

Advertisement

“Saya amat menggalakkan jemaah haji menggunakan aplikasi THhujjaj untuk mendapatkan maklumat dan pengetahuan terkini sepanjang berada di Tanah Suci. Untuk tahun ini, kita masukkan peta interaktif yang membolehkan jemaah menyemak lokasi semasa, sama ada di Mekah, kawasan Masyair atau Madinah,” katanya dalam temu bual di sini.

Menurut beliau, inisiatif itu amat penting terutama dalam situasi melibatkan jemaah yang terpisah daripada kumpulan atau tersasar ketika bergerak di kawasan yang sesak, khususnya di sekitar Masjidil Haram.

Selain itu, Mohd Fahmi berkata TH juga meneruskan penggunaan peta integrasi Google Walk, yang mula diperkenalkan sejak musim haji lalu, bagi membantu jemaah mencari laluan pulang ke bangunan penginapan selepas menunaikan umrah.

“Dengan peta Google Walk ini, jemaah boleh mencari perjalanan dari Masjidil Haram kembali ke bangunan penginapan dengan lebih mudah dan selamat,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan peranan maktab yang berfungsi sebagai barisan hadapan Tabung Haji dalam memastikan perjalanan ibadah jemaah berlangsung lancar dan tersusun.

Menurutnya, operasi maktab dijalankan mengikut prosedur yang telah digariskan sejak bertahun-tahun, bermula daripada pengurusan umrah pertama jemaah.

“Di peringkat awal, maktab akan menguruskan keseluruhan proses umrah pertama jemaah, bermula dari bangunan perkhidmatan sehingga selesai tawaf tujuh pusingan dan saie.

“Di dalam Masjidil Haram, kita menempatkan pembimbing ibadat haji Tanah Suci (PIHTAS) bagi memastikan jemaah melaksanakan ibadat mengikut tertib yang ditetapkan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa maktab berperanan sebagai barisan hadapan Tabung Haji, khususnya dalam memastikan setiap rukun dan ibadah haji dapat dilaksanakan dengan sah dan sempurna.

Katanya, peranan maktab menjadi lebih kritikal ketika operasi Masyair, yang melibatkan pergerakan besar-besaran jemaah dari Mekah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Semasa operasi Masyair, maktab bertindak sebagai induk operasi bagi menyelaras pergerakan jemaah daripada bangunan penginapan di Mekah ke Arafah mengikut susun atur yang telah dipersetujui antara Tabung Haji, pihak penginapan dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya.

Mohd Fahmi berkata operasi berkenaan merupakan antara fasa paling mencabar kerana melibatkan pergerakan serentak ribuan jemaah mengikut jadual dan susun atur yang ketat.

Katanya, penyelarasan rapi antara teknologi seperti THhujjaj dan fungsi maktab di lapangan menjadi kunci utama bagi memastikan keselamatan, kelancaran serta kesempurnaan ibadah jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.

Must Watch Video