Skip to main content

Malaysia

Mahkamah tetapkan 18 Ogos bicara kes Fahmi Zainol cederakan isteri

BALIK PULAU, 28 April -- -- Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 18 Ogos depan untuk perbicaraan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak Fahmi Zainol yang didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya pada Februari lepas.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pada 27 Feb lepas, Fahmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya. - Foto Bernama

BALIK PULAU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 18 Ogos depan untuk perbicaraan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak Fahmi Zainol yang didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya pada Februari lepas.

Majistret Chia Huey Ting menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Ikmal Affendi Zulkifly memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan sebelum memperoleh laporan perubatan yang dijangka pada minggu ini.

Advertisement

Terdahulu, peguam Dr Shamsher Singh Thind yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan tarikh terdekat berikutan kes tersebut tidak melibatkan perkara berat.

Beliau berkata penangguhan kes selama dua bulan sebelum ini menyebabkan kelewatan yang tidak wajar dan pengadu telah membuat dua laporan polis termasuk sebelum dan selepas kejadian serta usaha untuk menarik balik laporan tersebut.

Mahkamah turut menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh serahan dokumen dan laporan perubatan berhubung kes berkenaan.

Terdahulu, Fahmi yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang tiba di kompleks mahkamah bersama isterinya.

Pada 27 Feb lepas, Fahmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya.

Fahmi, 35, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Nur Hidayah Abd Jabar, 35, di Persiaran Pantai Jerejak, Bayan Lepas kira-kira 10 malam, 22 Feb lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

Must Watch Video