KUALA LUMPUR: Bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Datuk Mohd Harun Abdullah, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, beliau dimarahi Naib Presiden Parti Warisan, Datuk Peter Anthony.

Kejadian itu dikatakan berlaku selepas syarikat milik ahli politik itu, Asli Jati Engineering Sdn Bhd, tidak memperoleh kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan sistem mekanikal dan elektrikal (ME) di universiti berkenaan, lapor Bernama.

Katanya, beliau telah menerangkan kepada Peter selaku Pengarah Urusan syarikat berkenaan, bahawa pemberian kontrak akan dilakukan secara tender terbuka dan keputusan itu telah diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU).

"Datuk Peter marah kepada saya kerana syarikat beliau tidak dapat kontrak ME di bangunan Fasa 2B di universiti itu," katanya ketika membacakan penyataan saksi.

Tambah Mohd Harun, beliau turut mengesahkan kontrak itu telah diberikan kepada syarikat REMT Utama Sdn Bhd melalui tender terbuka dan tiada sebarang kerugian dialami pihak UMS atas tindakan itu.

Mengenai tandatangannya yang digunakan pada satu surat sokongan UMS kepada Asli Jati bertarikh 11 Julai 2014 jelas Mohd Harun, beliau terkejut apabila mengetahui perkara tersebut.

Surat berkenaan antara lain mendakwa UMS menyokong penuh permohonan Asli Jati untuk kerja-kerja operasi di universiti selama lima tahun secara rundingan terus.

"Surat itu merupakan surat yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan ketika itu untuk kelulusan.

"Saya sahkan saya tidak pernah mengeluarkan dan menandatangani surat berkenaan walaupun ia menggunakan nama saya selaku Naib Canselor UMS.

"Saya cam ia adalah tandatangan bekas Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS Prof Dr Shariff Abd Kadir Shariff Omang. Saya juga mengesahkan Shariff telah menandatangani surat itu tanpa pengetahuan dan kebenaran saya," katanya lagi.

Ketika menjawab pemeriksaan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Mohd Harun turut menafikan sebarang sokongan daripada pihaknya kerana ia bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti yang bersidang pada 16 Januari 2014.

Malah beliau terkejut apabila menerima surat kelulusan dari Kementerian Kewangan mengenai permohonan UMS untuk tender kepada Asli Jati pada 9 September 2014.

"Saya sahkan rujukan surat itu tidak wujud dan tiada rekod atau didaftarkan dalam fail UMS,” katanya lagi.

Susulan itu, beliau telah meminta seorang pegawai undang-undang UMS untuk berhubung dengan pihak Kementerian Kewangan bagi mendapatkan penjelasan.

Sementara itu, peguam Datuk Dr Senthinathan memohon sesi soal balas terhadap keempat-empat saksi pendakwaan dikendalikan seorang lagi peguam mewakili Peter, Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin selepas beliau tamat cuti sakit pada 2 Ogos ini.

Bagaimanapun Hakim Azura Alwi menolak permohonan itu dan mengarahkan sesi soal balas diteruskan esok.

Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didakwa melakukan sesuatu pemalsuan kepada surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014.

Mengikut pertuduhan dia didakwa memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat ia digunakan untuk tujuan menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada YAB Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Bagi pertuduhan pilihan pula, beliau yang juga Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didakwa telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 yang mempunyai pernyataan palsu pada tajuk surat itu dan beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu di tempat dan masa yang sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.